Pengalaman menakutkan apabila eskalator rosak di Lapangan Terbang Miri

Bernama
Jun 6, 2016 08:18 MYT
Kerajaan negeri Sarawak telah meminta MAHB untuk mengganti eskalator di lapangan terbang itu berikutan insiden menakutkan tersebut. - Foto Facebook Friends of PDRM
Hari Ahad (5 Jun) menjadi kenangan tersendiri buat anak kelahiran Limbang, Nurashikin Abdul Rahman, 22, apabila menyangka kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Miri sebagai kejadian gempa bumi, sedangkan sebenarnya ia insiden eskalator yang rosak.
"Saya menyangka ia adalah gempa bumi apabila tiba-tiba suasana kecoh selepas satu bunyi kuat datang tanpa dapat dikesan dari mana dan pada masa yang sama bangunan ini bergegar," katanya kepada Bernama di sini.
Nurashikin yang sedang menunggu penerbangan ke Kuching yang dijadualkan berlepas pada pukul 4.40 petang semalam, tertidur semasa kejadian itu berlaku.
"Saya terlalu takut sehingga saya hampir terlupa memakai selipar, berlari sepantas mungkin untuk melihat apa yang berlaku dan apabila saya mendapati ia disebabkan oleh masalah eskalator, saya terasa amat lega," katanya.
Beliau berkata orang ramai bersesak-sesak untuk mengambil gambar eskalator itu.
Sementara itu, kerajaan negeri Sarawak telah meminta Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) untuk mengganti eskalator di lapangan terbang itu berikutan insiden menakutkan itu apabila sebuah daripada eskalator mengalami kerosakan teknikal yang serius pada pukul 3.45 petang hari ini.
Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai MAHB bahawa lima anak tangga eskalator itu tiba-tiba jatuh tetapi tiada yang tercedera.
"Kali terakhir eskalator itu diselenggara ialah pada 31 Mei 2016, saya telah meminta kesemua tiga eskalator di Lapangan Terbang Miri diganti baharu kerana yang sedia ada sudah terlalu lama," katanya kepada Bernama malam ini.
Lee berkata buat masa ini MAHB telah menutup eskalator yang terjejas itu dan kontraktor sedang memperbaikinya dan menanti alat ganti.
"Saya difahamkan MAHB sedang dalam proses mengeluarkan tender, diharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.
#eskalator rosak #Lapangan Terbang Miri #Nurashikin Abdul Rahman
;