Pengalaman ikat perut di KL, dorong peniaga perkenal nasi bajet sejak 2010
Bernama
Februari 14, 2023 10:05 MYT
Februari 14, 2023 10:05 MYT
KANGAR: Keperitan hidup terpaksa mengikat perut setiap tengah bulan ketika bekerja di Kuala Lumpur 25 tahun lepas, mendorong pemilik gerai Zaidi Sabani memperkenalkan nasi bajet serendah RM5 pada 2010, bagi membantu golongan kurang berkemampuan khususnya anak muda yang baharu memasuki alam pekerjaan.
Zaidi, 41, berkata apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan Menu Rahmah pada awal tahun ini, beliau menyambut baik usaha itu dan turut memperkenalkan tiga sajian istimewa iaitu set pertama ayam masak merah bersama sayur campur, set kedua ayam masak kicap dengan kangkung goreng belacan serta set ketiga ayam goreng kunyit dan kailan ikan masin.
"Saya rasa seronok tengok pelanggan makan dan mereka pulang dengan perut kenyang sebelum berehat selepas seharian penat mencari rezeki," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Menceritakan pengalamannya, pemilik gerai Warung Insaf Fahmi di Taman Ira itu berkata beliau terpaksa membahagi dua mee segera untuk mengalas perut selama dua hari kerana gaji yang diterima tidak mencukupi pada ketika itu.
"Gaji yang diterima hanya cukup-cukup untuk bayar sewa rumah, tambang bas dan selebihnya untuk dihantar ke kampung sahaja...senang hanya pada awal bulan sahaja bila tengah bulan, poket dah kosong.
"Mengenang kembali kesusahan yang terpaksa dihadapi ketika itu, saya tergerak hati menjual menu makanan serendah RM5 pada tahun 2010 bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan khususnya golongan remaja yang baharu memasuki alam pekerjaan," katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata walaupun keuntungan yang diperoleh tidak seberapa, beliau rasa gembira dapat berniaga sambil bersedekah membantu meringankan beban golongan B40.
"Untung sedikit tak apa, janji hati rasa gembira bila dapat bantu orang lain walaupun sedikit," katanya sambil tersenyum.
Katanya kebanyakan daripada pelanggannya terdiri daripada anak muda yang baharu mula bekerja, apabila melihat mereka makan dan lepak di gerai mengingatkan kembali kenangan ketika bekerja di Kuala Lumpur satu ketika dahulu.
Zaidi berkata beliau akan sentiasa membaharui menu agar pelanggan tidak jemu menikmati sajian yang sama.
-- BERNAMA