Pengakap OKU bakal cipta rekod berkayak sejauh 360km menyusuri Sungai Perak
Bernama
Oktober 22, 2021 15:34 MYT
Oktober 22, 2021 15:34 MYT
IPOH: Seorang Orang Kurang Upaya (OKU) bakal mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) melalui Misi Survival Kayak Solo OKU apabila menyusuri Sungai Perak sejauh 360 kilometer (km) yang dijadual bermula pada 6 hingga 13 November depan.
Mohd Syukor Shahuji, 29, yang mempunyai masalah lembam dan kudung kaki kanan akibat kemalangan jalan raya empat tahun lepas akan melakukan ekspedisi dayungan kayak bermula dari Jeti Tasik Banding, Gerik sebelum berakhir di Beting Beras Basah, Bagan Datuk.
Mohd Syukor yang berasal dari Hulu Selangor, Selangor merupakan ahli pengakap negeri Perak dan mula aktif berkayak sejak lapan tahun lepas dengan menyertai ekspedisi anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak dengan kerjasama kerajaan negeri.
Beliau berkata faktor cuaca dan air pasang merupakan antara cabaran utama yang bakal dihadapinya memandangkan dayungan secara solo itu tidak membabitkan mana-mana bantuan daripada anggota kru.
"Perasaan gementar dan cuak itu ada tetapi saya bersemangat untuk melakukannya setelah setahun menjalani latihan bersama pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Kasim," katanya kepada pemberita yang turut dihadiri Naib Yang DiPertua Majlis Pengakap Negeri Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di Wisma Pengakap Negeri Perak di sini hari ini.
Sementara itu, Murad berkata beliau yakin kemampuan Mohd Syukor untuk menjayakan ekspedisi solo berkenaan berdasarkan prestasi yang ditunjukkannya sepanjang menjalani latihan bersamanya.
Dalam pada itu, Zainol Fadzi yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata ekspedisi itu diharap menjadi dorongan untuk menonjolkan semangat kesukanan dan kebolehan golongan OKU sekali gus mempromosi Sungai Perak sebagai destinasi rekreasi.
Beliau berkata acara pelepasan dijangka dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Jeti Tasik Banding manakala Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dijangka menunggu ketibaan Mohd Syukor di Beting Beras Basah.
-- BERNAMA