Pengajian bahasa dan peradaban Melayu harus diperluas ke seluruh Asia Tenggara - Ismail Sabri

Astro Awani
Februari 5, 2024 19:27 MYT
Ismail Sabri berkata, majoriti penduduk di Nusantara bertutur dengan asas bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu walaupun ia dikenali dengan nama yang lain. - Gambar fail/BERNAMA
BANGKOK : Pengajian bahasa dan peradaban Melayu harus diperluaskan ke seluruh Asia Tenggara bagi mencari titik temu untuk memacu rantau ini di peringkat antarabangsa.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada hari ini, jumlah etnik Melayu membentuk hampir separuh daripada 670 juta penduduk ASEAN.
Beliau berkata, justeru, amat penting peradaban Melayu dipelajari dan dikaji dengan mendalam khususnya oleh generasi muda hari ini untuk meningkatkan pemahaman bagi menjalinkan kerjasama yang lebih erat dalam rantau ini.
“Dalam konteks ASEAN, peradaban Melayu amat penting untuk memacu rantau Asia Tenggara bersaing di pentas dunia. Kita tidak kuat sekiranya bersendirian.
“Asia Tenggara merupakan populasi ketiga sub-region yang terbesar di Asia selepas India dan China.
“Kekuatan ini harus digunakan tetapi kita perlu saling kenal mengenali dan memahami budaya sendiri bagi mencari titik persamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berharap cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN diteruskan.
Katanya, majoriti penduduk di Nusantara bertutur dengan asas bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu walaupun ia dikenali dengan nama yang lain.
“Bahasa Kebangsaan Singapura juga Bahasa Melayu biarpun Bahasa Inggeris digunakan dalam semua urusan harian di negara tersebut.
“Maka disebabkan itu, dalam pertemuan bersama Presiden Jokowi ketika menerajui pentadbiran Kerajaan Malaysia pada April 2022, saya mencadangkan supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa kedua ASEAN.
“Beliau bersetuju tetapi timbul polemik di negara tersebut yang mendakwa bahasa Indonesia lebih layak menjadi bahasa kedua ASEAN,” katanya lagi.
#ismail sabri yaakob #Bahasa Melayu #ASEAN #Malaysia #Thailand #Asia Tenggara #peradaban #Melayu #nusantara
;