Pengajaran oleh guru berkualiti akan dirakam, diedar ke semua sekolah - Tun Mahathir

Najib Aroff
September 7, 2019 14:21 MYT
Dr Mahathir sewaktu bertemu Pengerusi Sekolah Rendah Retsumeikan di Kyoto Jepun hari ini. - Foto Bernama
Malaysia akan mengubah cara pengajaran di sekolah di mana pengajaran pelbagai subjek oleh guru berkualiti terpilih akan dirakam dan diedarkan di semua sekolah.
Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Pendidikan akan memilih 10 hingga 15 guru berkualiti untuk merakam proses pengajaran dan guru di sekolah hanya akan membimbing pelajar berdasarkan rakaman pengajaran tersebut.
“Kami cuba untuk memudahkan pengajaran. Guru ini berbeza, ada yang berkualiti ada yang kurang berkualiti.
“Ada sekolah yang menerima guru kurang berkualiti dan menjejaskan mutu sekolah tersebut.
“Kami akan merakam pengajaran oleh guru berkualiti dan menggunakan rakaman untuk untuk semua sekolah di Malaysia dan guru-guru di sekolah hanya bertindak sebagai pembimbing.
“Melalui sistem ini, kualiti pengajaran di Malaysia akan bertambah baik,” kata Dr Mahathir sewaktu bertemu Pengerusi Sekolah Rendah Retsumeikan di Kyoto, Jepun.
Dalam lawatan itu Dr Mahathir menerima penerangan tentang silibus unik sekolah berkenaan yang menerapkan pengajaran menggunakan teknologi seperti robotik, permainan maya dan teknologi canggih lain.
Selain itu sekolah berkenaan turut mengabungkan elemen tradisional seperti pembuatan seni tembikar dan pembuatan teh tradisional.
“Saya akan beritahu Kementerian Pendidikan Malaysia tentang sistem sekolah ini dan cara anda mengajar dan kami akan menghantar bukan sehaja pelajar malah guru ke sekolah ini untuk belajar,” katanya.
Sementara itu Pengetua Sekolah Rendah Ritsumeikan, Miki Horie berharap Malaysia sudi bekerjasama dengan sekolah berkenaan termasuk melakukan pertukaran pelajar untuk mendalami budaya.
Terdahulu Dr Mahathir ketika berucap di hadapan kepimpinan sekolah Ritsumeikan berharap dapat memuatkan kerjasama bersama sekolah berkenaan sebagai sebahagian dari Dasar Pandang ke Timur.
“Saya amat kagum dengan dedikasi serta cara guru di sini mengajar,” katanya sambil menambah suntikan budaya dalam pendidikan akan membentuk modal insan penuh tatasusila.
Sementara itu lawatan Dr Mahathir disambut dengan upacara meminum teh tradisional Jepun sebelum beliau ditunjukkan pengajaran di kelas robotik di mana pelajar mempelajari cara membina robot pada usia mudah.
Perdana Menteri turut melawat kelas yang mengajar pelajar menggunakan permainan maya seperti Minecraft bagi memberi pendedahan tentang algoritma.
Sekolah Rendah Ritsumeikan merupakan sebuah sekolah swasta ditubuhkan pada 2006 dan kini mempunyai 700 pelajar.
#guru #Jepun #Kementerian Pendidikan #Mahathir Mohamad #Malaysia #pelajar #pendidikan #Perdana Menteri #sekolah
;