Pengajar madrasah tak mengaku amang seksual kanak-kanak
Sinar Harian
Oktober 11, 2024 15:21 MYT
Oktober 11, 2024 15:21 MYT
SEREMBAN: Seorang pengajar sebuah madrasah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia sembilan tahun, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Ilyas Jamaludin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual bagi maksud seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada awal hingga akhir tahun 2023 di sebuah madrasah di Lenggeng, Nilai.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan, beliau mencadangkan RM30,000.
Peguam, Mohd Zaharudeen Harun berkata, anak guamnya masih bujang dan telah berhenti kerja sebagai tenaga pengajar di madrasah berkenaan sejak 12 Mac 2004.
Katanya, dia kini bekerja di madrasah lain di Keramat, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu dengan pendapatan RM1,600 sebulan.
Sehubungan itu, beliau memohon jumlah jaminan yang munasabah dan mencadangkan RM8,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan semua saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Beliau juga mengarahkan tertuduh memberi kerjasama kepada polis setiap kali dipanggil.
Dalam pada itu, di kamar Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pembantu pengajar madrasah sama didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
Muhammad Khalid Ahmar Zainal Abidin, 18, yang merupakan warga Indonesia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dengan sijil lahir Indonesia telah dengan sengaja menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan pada masa dan lokasi yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.
Peguam, Fadlyzil Ikram Norzailan Shah memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pembantu madrasah dengan gaji RM1,000 sebulan.
"Ibu bapa tertuduh tiada pendapatan tetap hanya bekerja sebagai petani dan mengambil upah membersihkan kebun.
"Tertuduh ada dua adik yang masih kecil dan perlukan perbelanjaan sekolah," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada Ahad pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 November depan. -- Sinar Harian
#pengajar madrasah
#amang seksual terhadap kanak-kanak
#Muhammad Ilyas Jamaludin
#Mahkamah Sesyen Seremban