Pengagihan subsidi menggunakan sistem MySARA langkah terbaik - Penganalisis UiTM Sabah

Irfan Faruqi
November 28, 2023 22:29 MYT
Firdausi berkata kaedah pengagihan melalui MySARA akan memastikan setiap rakyat yang benar-benar memerlukan berdasarkan data semasa. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengagihan subsidi secara bersasar dengan memanfaatkan sistem Sumbangan Asas Rahmah (MySARA) adalah langkah yang terbaik.
Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Prof. Madya Dr. Firdausi Suffian berkata, kaedah tersebut akan memastikan setiap rakyat yang benar-benar memerlukan berdasarkan data semasa.
“Pendekatan MySara adalah pendekatan yang terbaik sebenarnya, melihat kepada terus kepada data dan lokasi.
“Tetapi pada hemat saya, sekiranya subsidi bersasar ingin dilaksanakan mungkin perlu kepada fasa-fasa tertentu. Mungkin (bermula dengan) sesetengah negeri atau kawasan terlebih dahulu. Isu ini memang kompleks.
‘Tetapi dengan adanya Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan MySARA itu sebenarnya sudah memberikan sedikit sebanyak data kepada pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Pada masa sama, Firdausi mengakui isu integrasi data merupakan antara cabaran yang perlu diberi perhatian untuk memastikan penyampaian subsidi yang berkesan.
Beliau juga memberi penekanan kepada ketepatan data secara nyata untuk memastikan subsidi tersebut diberikan kepada golongan yang dikhususkan dan tidak dinikmati oleh kumpulan yang sudah mempunyai pendapatan yang selesa.
“Pun begitu, dengan PADU mungkin dapat dikurangkan isu kesilapan keciciran atau kesilapan penyertaan. Subsidi memang banyak memberi bebanan kepada kerajaan dan banyak penyalahgunaan,” katanya lagi.
Pengagihan subsidi menggunakan sistem MySARA langkah terbaik - Penganalisis UiTM Sabah
#subsidi #MySARA #rasionalisasi subsidi #langkah terbaik
;