Pengagihan subsidi beras ST15 perlu telus - PAC
Astro Awani
April 3, 2015 12:35 MYT
April 3, 2015 12:35 MYT
Program subsidi beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) memerlukan prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara pengagihan yang benar-benar telus serta sistematik, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Nur Jazlan berkata, langkah itu disarankan bagi memastikan wang rakyat yang dibelanjakan benar-benar mencapai matlamat untuk membantu golongan rakyat kurang berkemampuan membeli beras.
Katanya, dalam prosiding bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Selasa lalu, PAC dimaklumkan mengenai ketiadaan SOP dan tatacara penjualan dan pengagihan beras subsidi ST15 kepada rakyat kurang berkemampuan.
“Perlu diingatkan program ini, bermula sejak 2008 dengan peruntukan sebanyak RM400 juta dan tahun lalu sahaja, ia mencecah lebih RM500 juta bagi sejumlah 60,000 tan metrik beras, tetapi tiada pemantauan di peringkat jualan siapa yang layak membeli beras subsidi ST15 ini di peringkat pengguna dan ia diakui sendiri Kementerian Pertanian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, jika tiada pemantauan dilakukan terhadap jualan beras subsidi ST15 di peringkat pengguna, ia memberi gambaran beras ini boleh dibeli sesiapa sahaja termasuk restoran dan kedai makanan sekali gus tidak memberikan manfaat kepada rakyat kurang berkemampuan.
Bagaimanapun Nur Jazlan, berkata PAC masih belum memuktamadkan prosiding untuk program beras subsidi ST15, sebaliknya akan memanggil semula Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memberikan maklumat lanjut memgenai kaedah berkenaan.
Katanya, PAC tidak keberatan berjumpa dengan Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) berhubung dakwaan persatuan berkenaan bahawa program beras subsidi berkenaan benar-benar mencapai matlamat dan sasarannya.
“Cuma yang saya hairan bagaimana BARIM kata program mencapai matlamat tetapi kementerian kata tiada pemantauan…jadi lebih elok kementerian bawa sekali BARIM apabila dipanggil semula dalam prosiding program beras subsidi ST15,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata, PAC bukan mahu menganiaya mana-mana pihak sebaliknya, mahu benar-benar memastikan wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan benar-benar mempunyai pulangan kepada rakyat itu sendiri.
“PAC tidak mahu timbul persepsi dan tanggapan kerajaan membelanjakan wang rakyat untuk program subsidi yang tidak mencapai sasaran dan matlamatnya…jika benar program beras subsidi ST15 ini, benar-benar mencapai apa yang dikehendaki kerajaan dalam membantu golongan rakyat kurang berkemampuan membeli beras, tunjukkan bukti itu kepada PAC,” katanya.
Nur Jazlan berkata, pengurusan program beras subsidi ST15 ini, pernah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 dan PAC kini sudah mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan sekali lagi terhadap semua program subsidi dalam Kementerian Pertanian termasuk beras subsidi ST15.
Pada masa sama katanya, langkah mengkaji subsidi beras ST15 ini juga selari dengan hasrat kerajaan merasionalisasikan subsidi seperti yang dilakukan kepada minyak petrol serta diesel.
Beliau berkata, semua pihak perlu sedar bahawa apa sahaja program subsidi, manfaatnya adalah untuk rakyat secara keseluruhan terutama sekali golongan kurang berkemampuan bukan pada sesetengah pihak seperti pemborong atau pengedar sahaja.