Pengagihan organ, darah yang diderma tidak mengambil kira agama dan bangsa - KP Kesihatan
Bernama
Februari 12, 2017 22:52 MYT
Februari 12, 2017 22:52 MYT
Sistem pengagihan organ daripada penderma yang telah meninggal dunia dilakukan tanpa mengira agama, latar belakang dan status penerima di dalam masyarakat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengagihan organ dilakukan berdasarkan kriteria klinikal dan keserasian pesakit.
Beliau berkata memang terdapat kemungkinan organ yang didermakan oleh orang bukan Islam diberikan kepada seorang Islam dan sebaliknya.
"Tidak menjadi halangan sekiranya orang Islam dan bukan Islam ingin menderma organ dan darah kepada mana-mana penerima. Begitu juga dengan pendermaan dan tranfusi darah.
"Kementerian amat menghargai kesudian ramai rakyat Malaysia yang telah berdaftar sebagai penderma organ dan menderma darah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung satu video yang telah dikeluarkan oleh pihak tertentu mengenai status rakyat bukan beragama Islam yang ingin menderma organ.
Dr Noor Hisham berkata dari segi hukum pendermaan organ, fatwa telah dikeluarkan seawal tahun 1970 oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan pendermaan organ dalam kalangan masyarakat Islam.
Menurutnya, tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap pendermaan organ semakin meningkat dan buat masa ini lebih dari 350,000 rakyat Malaysia telah berikrar sebagai penderma organ.
Katanya, Kementerian Kesihatan yakin bahawa kesudian rakyat Malaysia ini adalah didorong oleh rasa ikhlas bagi membantu serta menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
"Bagi mereka yang telah lama berikrar, mereka boleh memohon penggantian kad yang baru melalui http://www.fb.com/dermaorgan atau Twitter @dermaorgan.
Kementerian juga mengalu-alukan lebih ramai lagi rakyat untuk berikrar sebagai penderma organ dengan berdaftar di http://www.dermaorgan.gov.my/," katanya.
-- BERNAMA