'Pengadu tertekan Ebit Lew buat panggilan video tunjuk kemaluan'
Sinar Harian
Februari 13, 2024 19:07 MYT
Februari 13, 2024 19:07 MYT
TENOM: Saksi pendakwaan kesembilan yang juga pengadu dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa dia tertekan dengan perbuatan pendakwah terkenal itu yang didakwa membuat panggilan video dan menunjukkan kemaluannya.
Wanita tersebut berkata demikian ketika diminta merujuk kepada laporan polis yang dibuatnya pada 7 Ogos 2021.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad meminta pengadu menjelaskan apa yang dimaksudkan pada ayatnya dalam laporan 'saya sangat marah dan tertekan dengan perbuatan Ebit ini'.
"Seperti saya katakan tadi, pada 29 Mac, Ebit membuat panggilan video dan memperlihatkan kemaluan beliau dan saya beritahu suami untuk membuat tindakan tetapi suami tidak membenarkan jadi saya rasa perkara itu membuatkan saya tertekan.
"Bukan suami (buat tertekan) tetapi perbuatan Ebit," jelasnya kepada mahkamah dalam perbicaraan yang berlangsung pada Selasa.
Pengadu turut memberitahu mahkamah bahawa dia telah menerima gambar kemaluan daripada WhatsApp itu ketika berada di kediamannya di sebuah kampung di sini.
Selain itu, pengadu turut memberitahu mahkamah bahawa dia tidak lagi menyimpan nama pada nombor telefon Ebit Lew sebagai 'uEL' kerana mahu menunjukkan nombor telefon yang digunakan pendakwah tersebut.
"Sebelum membuat laporan, saya perlu buat tangkap layar WhatsApp (mesej) dari Ebit untuk menunjukkan itulah nombor telefon yang dia gunakan untuk WhatsApp saya," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataannya berhubung hantaran yang ditemui daripada Facebook Fairuz, pengadu memaklumkan dia terlihatnya pada malam 26 Julai 2021.
"Semasa saya buka Facebook, saya terlihat ada orang kongsi Fairuz buat hantaran tentang gangguan seksual daripada pendakwah terkenal.
"Setelah membaca teks yang Fairuz tulis, saya terus berbincang dengan suami dan kami mengambil keputusan untuk menghubungi WhatsApp nombor yang diberi dan bertanya siapa pendakwah terkenal yang dimaksudkan tetapi Fairuz tidak memberitahu kami, sebaliknya dia kata kalau betul kami pun kena gangguan seksual, berikan contoh teks.
"Selepas itu saya tangkap layar contoh teks dari Ebit Lew dan memberikannya pada Fairuz tetapi dia masih tidak mempercayai bahawa saya betul-betul mangsa dan meminta lagi contoh ayat yang saya dapat," jelasnya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai laporan polis yang dibuat di Bukit Aman, pengadu memaklumkan dia dan suami menaiki kenderaan sendiri dari Tenom ke Kota Kinabalu manakala tiket penerbangan dan penginapan dibantu oleh Fairuz.
Bagaimanapun, pengadu memberitahu kepada mahkamah bahawa tiada bantuan lain yang diterima daripada Fairuz selain daripada tiket kapal terbang dan tempat penginapan.
Sebelum itu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah dan Analia Kamaruddin manakala Ebit diwakili barisan peguamnya Datuk Ram Singh dan Nizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. - Sinar Harian