KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa telah dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa, telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.


Ringkasan AI
  • Seorang pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa telah dipukul oleh seorang pengawal peribadi rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.
  • Individu tersebut, yang juga seorang orang kurang upaya (OKU), telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama, kerana tidak mahu memanjangkan kes.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, individu berkenaan, yang juga orang kurang upaya (OKU), telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.

“Pada 28/05/2024, jam lebih kurang 9.59 malam pengadu telah membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik, serta tidak mahu memanjangkan kes,” katanya dalam satu kenyataan media.

Rusdi dalam kenyataan yang sama berkata, Polis Kuala Lumpur telah menerima satu laporan polis, pada 28/05/2024 jam lebih kurang 1.00 petang oleh pengadu yang merupakan seorang pemandu Grab.

Beliau berkata pengadu tersebut mendakwa telah diserang oleh seorang individu yang  merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.

“Kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya Rusdi.

Terdahulu media melaporkan, pemandu e-hailing berkenaan membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields, semalam.

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya.
Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehubungan itu Rusdi berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.