Penetapan harga petrol, diesel mingguan ditangguh sementara

Luqman Hariz
Disember 31, 2018 16:55 MYT
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan hanya akan dilaksanakan sebelum akhir minggu pertama 2019. - Gambar fail REUTERS
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan hanya akan dilaksanakan sebelum akhir minggu pertama 2019.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata buat masa ini harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter.
Pada 24 Disember lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit petrol akan kembali ditetapkan secara mingguan bermula 1 Januari 2019.
Katanya, ekoran harga minyak mentah global yang lemah ketika ini, mekanisme penetapan mingguan akan lebih menguntungkan rakyat.
Ini kerana harga runcit petrol di pam berpotensi turun sekiranya harga minyak mentah global kekal lemah tahun depan seperti yang dijangka.
Guan Eng berkata penangguhan ini adalah selepas mengambil maklum balas beberapa pihak berwajib.
“Kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan.
“PDAM juga telah meminta agar diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum," katanya.
PDAM sebelum ini memberikan dua cadangan untuk menggantikan mekanisme penetapan harga secara mingguan.
Dua cadangan ini adalah mekanisme Margin Pengusaha Stesen Minyak (DGM) dan penjualan secara konsainmen.
Di bawah sistem DGM, sekiranya harga minyak turun selepas stesen minyak membuat pesanan minyak, syarikat minyak akan membuat bayaran gantian kepada stesen minyak.
Ini bermakna stesen minyak akan mendapat pampasan daripada syarikat minyak sekiranya mereka mengalami kerugian.
Bagaimanapun sekiranya harga minyak meningkat selepas stesen minyak membuat pesanan, stesen akan membayar bayaran gantian kepada syarikat minyak.
DGM memastikan margin keuntungan stesen minyak kekal pada 10 sen seliter, tidak kira sama ada harga minyak mentah global meningkat atau menyusut.
Penjualan secara konsainmen pula bermakna stok di stesen adalah milik syarikat minyak, dan pengusaha stesen hanya menjual selaku ejen.
Ini bermakna pengusaha stesen minyak mendapat komisyen bagi setiap liter dijual, dan tidak akan menanggung apa-apa risiko perubahan harga.
Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata mekanisme penetapan harga mingguan yang mahu diguna pakai kerajaan akan menyebabkan harga runcit petrol bertukar dengan kerap, sekali gus menyebabkan margin keuntungan stesen minyak tidak menentu.
Guan Eng berkata pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri akan diperoleh dalam mesyuarat pada 2 Januari 2019 bagi mencari mekanisme penetapan harga runcit petrol yang paling optimum.
#APM #BHP #DGM #diesel #harga mingguan #harga minyak #harga petrol #Kementerian Kewangan #Khairul Annuar Abdul Aziz #Lim Guan Eng #petron #Petronas #RON95 #RON97 #shell
;