Penetapan harga minyak masak dua peringkat sedang diusahakan - Salahuddin

Israr Khalid
Disember 6, 2022 07:00 MYT
Salahuddin pada sidang media ketika Majlis Pertukaran Nota Serah Tugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Putrajaya baru-baru ini. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata usaha untuk melaksanakan penetapan harga minyak masa secara dua peringkat sudah dimulakan.
Menurutnya, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain besar industri bagi memulakan perbincangan mencari titik menang-menang untuk mereka dan juga pengguna.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa penggunaan minyak masak tempatan hanya enam peratus dan selebihnya dieksport ke luar negara, namun harga jualannya sama, yang dianggap mahal untuk rakyat kebanyakan.
“Sebelum ini sangat sensitif bila kita sebut tentang cadangan supaya ada dua peringkat harga yang sepatutnya pemain industri boleh bertolak ansur di sini.
“Jadi apa yang saya agak gembira adalah, di akhir mesyuarat itu mereka menyatakan kesediaan untuk berbincang dan ini satu berita baik. Saya melihat ‘ada cahaya di hujung terowong’,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Harga dua peringkat bermaksud harga yang dieksport adalah berbeza dengan harga yang dijual dalam pasaran tempatan.
Dengan harga pasaran dunia bagi minyak sawit mentah (CPO) hari ini mencecah lebih RM4,000 bagi setiap satu tan metrik, maka Saifuddin melihat tidak ada masalah untuk para pemain industri tempatan menurunkan harga jualan dan mereka masih boleh membuat keuntungan.
Penetapan harga minyak masak dua peringkat sedang diusahakan - Salahuddin Ayub
#minyak sawit #Salahuddin Ayub #PM10 #harga minyak
;