Penetapan harga barang pengguna bukan bersifat politik
Farhana Joni
Mei 22, 2020 17:25 MYT
Mei 22, 2020 17:25 MYT
Penetapan harga barang pengguna bukan bersifat politik, sebaliknya ditentukan melalui teori asas ekonomi iaitu faktor permintaan dan bekalan.
Tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, dakwaan beberapa pihak bahawa harga barangan termasuk ayam meningkat ketika ini sama sekali tidak benar.
"Dakwaan harga barangan murah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak sesuai digunakan kerana ketika itu permintaan barang menurun disebabkan banyak aktiviti disekat.
"Keadaan ketika ini pula berbeza kerana kelonggaran diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), banyak aktiviti ekonomi sudah kembali seperti biasa.
"Di samping itu, sambutan perayaan yang semakin hampir menyebabkan permintaan barang meningkat, jadi harga kembali seperti sedia kala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Alexander menjelaskan, usaha mengawal harga barang pengguna bukan hanya dilakukan pada musim perayaan sebaliknya sejak PKP dikuatkuasakan.
Atas sebab itu katanya, Malaysia tidak mengalami masalah bekalan makanan dan tiada kenaikan harga melampau ketika banyak sektor ekonomi termasuk kilang dan pertanian ditutup sepanjang PKP lalu.
"Saya mungkin baharu dilantik menerajui kementerian ini tetapi saya sentiasa mendapat nasihat dan pandangan daripada barisan pegawai berpengalaman di sini.
"Saya kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab semata-mata bertujuan politik dengan menghasut pengguna," katanya.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menerusi rakaman video di akaun Facebook miliknya membandingkan harga barang pengguna seperti ayam di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dengan sekarang.
#Datuk Alexander Nanta Linggi
#harga barang
#KPDNHEP
#Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna
#pengguna
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#PKPB
#politik