Peneroka pulihkan kolam terbiar, jana pendapatan sampingan

Nur Fazlizai Ali
September 5, 2021 09:33 MYT
Projek yang diusahakan itu membolehkan peneroka menjana pendapatan sampingan selain membantu mengatasi masalah sosial di kawasan terbabit. - Astro AWANI
HULU TERENGGANU: 15 peneroka mengambil inisiatif memulihkan kolam terbiar lebih 30 tahun bagi melaksanakan projek kelompok ternakan ikan kumpulan generasi kedua di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu.
Program berkenaan membabitkan peneroka berusia antara 30 hingga 55 tahun yang menjalankan kerja pembersihan kawasan secara gotong-royong serta berkongsi modal.
Menurut salah seorang daripada peneroka itu, Azhar Ismail, projek yang diusahakan itu membolehkan peneroka menjana pendapatan sampingan selain membantu mengatasi masalah sosial di kawasan terbabit.
"Kolam ni memang tinggalan zaman orang-orang tua dahulu. Yang buat kolam ini pun sudah meninggal semua.
"Sudah jadi hutan di sini dan ia juga dijadikan tempat penagih menghisap dadah.
"Tetapi sekarang selepas kami semua membersihkan kawasan ini, maknanya selesai sudah masalah sosial yang berlaku di sini," katanya.
Bagi seorang lagi peneroka, Ramli Ngah, usaha yang dijalankan itu mampu menghidupkan kembali kolam-kolam tersebut sekali gus berupaya menjana pendapatan.
"Tempat ini terbengkalai dah lama tetapi kita tengok orang tua-tua, generasi pertama sudah tiada, jadi kita sebagai anak ambil alih kolam ini dan sekaligus menghidupkan kembali kolam-kolam ini," katanya.
Sementara itu inisiatif mereka mendapat sokongan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang menyalurkan peruntukan RM15,000 serta menyumbang 3,000 benih ikan patin dan 6,000 tilapia untuk projek berkenaan.
Menurut Rasol, projek berkenaan mampu meningkatkan pendapatan peneroka selain membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan.
#kolam terbiar #peneroka #pendapatan sampingan #gotong-royong
;