Peneroka maut tertembak: Kemalangan kendali senapang buatan sendiri - Polis

Bernama
Oktober 27, 2021 20:35 MYT
Semalam, Mohamad disahkan meninggal dunia pada pukul 4.20 petang di klinik kesihatan berkenaan, selepas dibawa ke situ dengan kesan tembakan di dada selain turut cedera di tapak tangan kanan. - Gambar fail/ Sinar Harian
KUANTAN: Peneroka yang maut selepas ditemukan dengan kesan tembakan di dada dalam kejadian di ladang kelapa sawit Felda Bukit Sagu 4 di sini semalam, dipercayai mengalami kemalangan semasa mengendalikan senapang buatan sendiri.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata ia berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, yang turut menemukan senapang dipercayai digunakan mangsa, Mohamad Omar, 67.
"Kami juga telah mengambil keterangan empat saksi termasuk isteri dan rakan baik lelaki tersebut yang membawanya ke Klinik Kesihatan Bukit Goh untuk rawatan.
"Siasatan kini menjurus kepada asal senapang tersebut, sama ada Mohamad membuatnya sendiri atau dibeli," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata polis juga akan mengklasifikasi semula kes itu, jika terdapat perkembangan dan bukti baharu.
BACA: Peneroka maut terkena tembakan
Semalam, Mohamad disahkan meninggal dunia pada pukul 4.20 petang di klinik kesihatan berkenaan, selepas dibawa ke situ dengan kesan tembakan di dada selain turut cedera di tapak tangan kanan.
Peneroka Felda Bukit Sagu itu dikatakan keluar mengait kelapa sawit di ladang tersebut sekitar pukul 10 pagi dan telah menghubungi isterinya pada pukul 3.36 petang memaklumkan dirinya ditembak.
Wanita itu menghubungi rakan baik suaminya untuk meminta pertolongan mencari Mohamad sebelum mereka menemukannya dalam keadaan kritikal di ladang tersebut.
-- BERNAMA
#peneroka Felda #kematian #tembakan #senapang buatan sendiri
;