Peneroka Felda mohon tukar getah kepada kelapa sawit

Adie Sufian Zulkefli
September 18, 2021 10:14 MYT
Antara faktor yang mendorong peneroka untuk menukar tanaman adalah kerana harga komoditi kelapa sawit lebih tinggi berbanding getah. - Gambar Astro AWANI
PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mempertimbangkan permohonan 360 peneroka Felda Lubuk Merbau untuk menukar tanaman semula getah kepada kepala sawit pada tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya perlu memperhalusi permohonan berkenaan berikutan turut melibatkan dasar kementerian dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Menurut beliau, penanaman semula itu akan dilakukan secara berperingkat tahun depan membabitkan 416 peneroka dengan keluasan keseluruhan 585.54 hektar dan fasa kedua pula akan dilaksanakan pada 2023 membabitkan 231 peneroka 753.88 hektar.
Katanya, bagi fasa satu, seramai 360 peneroka memohon untuk tukar tanaman getah kepada kelapa sawit membabitkan keluasan 401.89 hektar.
Manakala seramai 56 peneroka pula kekal tanaman semula kelapa sawit membabitkan keluasan 183.65 hektar.
Antara penelitian yang perlu dilakukan, kata Mahdzir ialah perbandingan antara harga getah dengan kelapa sawit.
“Pada waktu ini harga kelapa sawit tinggi dan harga getah kekal di situ… (justeru) saya kena bawa perbincangan di peringkat kementerian untuk tengok (bagaimana) dari segi dasar di kementerian dan juga di Risda,” kata Mahdzir lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat mengenai program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, antara faktor yang mendorong peneroka untuk menukar tanaman adalah kerana harga komoditi kelapa sawit lebih tinggi berbanding getah.
Permohonanan untuk penanaman semula telah dibuat sebelum ini namun terhenti pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
#peneroka Felda #kelapa sawit #Getah #Kementerian Pembangunan Luar Bandar #risda #Felda