Peneroka Felda: Jangan pajak, gadai dan jual tanah
Bernama
Mac 1, 2016 23:44 MYT
Mac 1, 2016 23:44 MYT
Peneroka Felda diingatkan agar tidak memajak, menggadai atau menjual tanah mereka atas apa alasan pun kecuali melibatkan kes-kes istimewa seperti pengambilan tanah oleh kerajaan untuk kepentingan umum.
Menggesa demikian, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peneroka Felda mesti menghargai titik peluh mereka ke atas tanah yang diusahakan selama ini.
"Walaupun kita telah serahkan geran hak milik kepada mereka, kerajaan melaksanakan sekatan demi kepentingan mereka di mana tanah itu tidak boleh sama sekali dipajak, digadai dan dijual.
"Ia adalah hasrat kerajaan dan pemimpin terdahulu iaitu Tun Abdul Razak(Perdana Menteri kedua) yang mahu melihat pemilikan tanah di kalangan orang Melayu semakin bertambah," katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis penyerahan geran hak milik kepada 259 peneroka Felda Raja Alias 3 di sini, hari ini.
Mohamad berkata pemilikan tanah dalam kalangan orang Melayu khususnya warga Felda harus dipertahankan demi generasi seterusnya.
Dalam pada itu, beliau berkata proses penyerahan geran hak milik akan dipercepatkan termasuk kepada peneroka Felcra dan Risda.
Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya berasa bangga dengan pencapaian yang diraih warga peneroka hari ini yang telah mencapai kemajuan memberangsangkan dalam kehidupan mereka.
"Sudah dapat geran, binalah kehidupan sebaik mungkin...orang lain tidak boleh pertikaikan lagi kerana ini hasil titik peluh anda semua," katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Serting Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.