Penerimaan tol tanpa tunai dalam kalangan pengguna meningkat

Bernama
September 4, 2015 08:36 MYT
Lorong 24 jam tambah nilai untuk menjual kad TnG dan SmarTAG dengan harga promosi yang berpatutan untuk pengguna jalan raya akan disediakan dan rebet tol sebanyak lima peratus akan ditawarkan kepada kenderaan Kelas 1E di DUKE. - Gambar Fail
Pelaksanaan penuh tol tanpa tunai di beberapa lebuh raya utama bermula 9 Sept ini dijangka berjalan lancar dengan penerimaan positif daripada orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif Terowong SMART Mohd Fuad Kamal Ariffin berkata peningkatan penerimaan ini dapat diukur dengan meningkatnya jualan kad Touch 'n GO (TnG) dan peranti SmartTAG.
Beliau berkata promosi tol tanpa tunai yang dilaksanakan oleh pemegang konsesi lebuh raya telah melonjakkan jualan peralatan itu, khususnya dalam kalangan masyarakat bandar.
"Setakat hari ini, peratusan jualan kami adalah menggalakkan dan kami yakin untuk mencapai sasaran. Dengan aktiviti promosi semasa untuk bayaran tol tanpa tunai sepenuhnya, kami menyaksikan peratusan penggunaan meningkat daripada 77 peratus dalam Januari 2015 kepada 81 peratus pada masa ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Antara promosi yang dilaksanakan oleh syarikat pengendali lebuh raya termasuk memberi diskaun kad TnG pada harga serendah RM5 dan 20 peratus untuk peranti SmarTAG.
Berkuatkuasa tengah hari 9 Sept ini, pembayaran di 12 plaza tol akan dilaksanakan tanpa tunai sepenuhnya, dengan kesemua transaksi adalah secara elektronik menerusi kad PLUSMiles, TnG atau SmarTAG.
Plaza tol yang terlibat ialah Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS); Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (PLUS); Plaza Tol Lunas, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE); Plaza Tol Kubang Semang (BKE); Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang dan Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
Enam lagi plaza tol ialah Plaza Tol Bentong (KLK); Plaza Tol Datuk Keramat Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE); Plaza Tol Sentul Pasar, DUKE; Plaza Tol Batu, DUKE dan Plaza Tol Lebuhraya SMART.
Lorong 24 jam tambah nilai untuk menjual kad TnG dan SmarTAG dengan harga promosi yang berpatutan untuk pengguna jalan raya akan disediakan dan rebet tol sebanyak lima peratus akan ditawarkan kepada kenderaan Kelas 1 yang menggunakan Lebuhraya DUKE untuk selama tiga bulan, mulai 9 Sept ini.
Sementara itu, Pengarah Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi) berkata pemegang konsesi Lebuhraya DUKE telah menjual 32,000 kad TnG dan 4,000 unit peranti SmarTAG.
Beliau berkata pembayaran tanpa tunai bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi menyegerakan transaksi, aliran trafik yang lebih efisien dan mesra alam.
"Seperti yang telah kita saksikan di plaza tol yang mana pembayaran secara elektronik dilaksanakan sepenuhnya, memang ada tentangan daripada sesetengah pihak, tetapi kami rasa ini adalah jalan terbaik ke hadapan untuk memastikan keberkesanan operasi tol dan untuk manfaat kesemua pengguna lebuh raya," katanya.
Pengendali AKLEH, Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (Prolintas) berkata ia telah menjual 7,377 kad TnG dan 4,564 unit SmarTAG serta jumlah ini dijangka meningkat lagi dengan kempen dan promosi yang masih berjalan.
#Mohd Fuad Kamal Ariffin #SMART #SmartTag #Touch n'GO
;