Penerima pingat SP mohon kerajaan kaji, naikkan elaun
Bernama
Mac 8, 2024 19:03 MYT
Mac 8, 2024 19:03 MYT
KUALA LUMPUR: Penerima Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) memohon kerajaan menaikkan elaun dinikmati penerima pingat supaya ia seiring dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.
Salah seorang penerima pingat itu, pesara polis Datuk Paul Tiong berkata, jika elaun ini dinaikkan, ia membuktikan kerajaan tidak pernah melupakan dan sentiasa menghargai jasa serta pengorbanan bekas perajurit sepertinya dalam menentang pengganas komunis.
"Pada tahun 2009, Dewan Rakyat meluluskan kenaikan elaun pingat ini kepada RM2,000 sebulan. Namun, kos sara hidup ketika ini semakin meningkat, jadi wajar untuk kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun ini memandangkan hanya tinggal lima orang sahaja (penerima pingat SP)," katanya dalam sidang media di Muzium Polis Diraja Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata menaikkan elaun dinikmati penerima pingat juga adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu dalam melindungi dan mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis.
"Jika ya (dinaikkan), ini membuktikan bahawa kerajaan cakna dengan isu-isu melibatkan golongan pesara seperti kami. Ini juga bermakna kerajaan sentiasa peduli dengan nasib kami," katanya.
Dalam pada itu, seorang bekas tentera laut yang juga bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata, isu pencen melibatkan pesara tentera dan polis harus diambil perhatian kerana pencen yang diterima setiap bulan tidak mencukupi.
Beliau berkata, rata-rata mereka yang menerima wang persaraan itu majoritinya golongan berpendapatan rendah atau B40.
"Kenaikan pencen setiap tahun hanya dalam puluhan ringgit sahaja. Tapi harga barang dan keperluan lain meningkat lebih lagi. Jadi, kami mohon kepada kerajaan untuk mempertimbangkan kenaikan elaun dan juga pencen untuk golongan pesara tentera dan polis ini," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Danyal berkata semangat patriotisme harus diterap dalam masyarakat supaya rasa cinta akan negara terus mekar disamping menghargai jasa dan pengorbanan perjuangan perajurit terdahulu.
Beliau berkata jika patriotisme tidak diterapkan maka sejarah akan dilupakan dan mereka yang tidak mengenal sejarah akan sewenang-wenangnya berkata sesuatu tanpa fakta yang jelas.
"Oleh sebab itu, ada individu yang secara semberono mengeluarkan sesuatu isu tanpa fakta yang sahih. Hal sebegini boleh buat orang ramai keliru tentang sejarah dan menimbulkan kekacauan serta (isu) perkauman," katanya.
-- BERNAMA
#pingat Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa
#mohon naikkan elaun
#kos sara hidup
#Paul Tiong