Penerima darjah, pingat perlu lalui tapisan SPRM dan PDRM
Noraniza Kamsani
Januari 27, 2018 16:18 MYT
Januari 27, 2018 16:18 MYT
Setiap individu yang dicadangkan untuk menerima darjah dan pingat kebesaran di negeri ini perlu melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, selepas melalui saringan dua pihak berkuasa berkenaan dan 'bersih' dari aktiviti jenayah, individu itu akan disahkan sebagai penerima.
"Saya tidak akan kalung selagi nama-nama yang dicadangkan tidak disahkan oleh pihak berkenaan," titah baginda ketika ditemui selepas menyampaikan darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.
Tengku Abdullah bertitah, baginda juga telah mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) supaya individu yang benar-benar layak dan berjasa sahaja menerima penganugerahan seperti Datuk dan Datuk Seri.
"Saya juga akan mewujudkan kod etika yang kini masih dalam kajian dan setiap penerima tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan ini," titah baginda.
Baginda bertitah, penerima yang engkar dan gagal mematuhi kod etika itu akan digugurkan pingat atau darjah kebesaran secara automatik.
Pada istiadat itu, seramai 196 penerima yang menerima darjah kebesaran dan pingat daripada Tengku Abdullah.
Mendahului senarai penerima pingat adalah adinda Sultan Pahang, Tengku Datuk Nor Akmar Sultan Abu Bakar yang menerima Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Datuk Seri bersama 20 individu lain.
#anugerah
#jenayah
#operasi
#Pahang
#PDRM
#Pemangku Sultan Pahang
#Polis Diraja Malaysia
#Rasuah
#SPRM
#Sultan Pahang
#Tengku Abdullah
#Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah