Penerima BR1M bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan

T K Letchumy Tamboo
Februari 22, 2014 17:17 MYT
Rakyat Malaysia rata-rata bersyukur dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kehidupan seharian mereka.
Ini ekoran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi RM650 dan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.
Mustafa Harun, seorang pesara dari Jabatan Kerja Raya berkata bantuan BR1M membantu warga emas sepertinya untuk membeli barangan keperluan rumah.
"BR1M dapat bantu pak cik sebagai warga emas untuk bayar duit api, duit air dan keperluan-keperluan lain. Pak cik juga boleh tolong isteri beli barang-barang keperluan dapur," kata lelaki berusia 73 tahun itu.
Mohd Jamil Rahim yang kurang keupayaannya, berkata peningkatan jumlah BR1M tahun ini amat dialu-alukan.
"Saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri. Dulu RM500 tetapi sekarang RM650 gembira. Saya akan guna sebaik mungkin," kata lelaki yang berumur 38 tahun itu.
Haji Said, 69, pula berkata beliau bersyukur kerana kerajaan prihatin dengan rakyat Malaysia.
"Kerajaan tidak pernah mungkir janji..apa yang saya lihat pemberian BR1M kali ini adalah yang terbaik," kata beliau yang tinggal di Kampung Pandan itu.
Sementara itu, P. Muniyamal, 70, turut meluahkan rasa gembiranya atas pemberian bantuan tersebut.
"Saya sangat gembira. Saya akan gunakan duit ini untuk perniagaan menjahit saya," katanya.
Semasa pengumuman BR1M 2014 hari ini, Najib turut mengumumkan peningkatan daripada RM250 kepada RM300 bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan.
Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.
i-BR1M menyediakan nilai perlindungan minimum RM1,000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.
#bersyukur #BR1M #i-BR1M #keperluan rumah #kurangkan beban #najib #pesara #warga emas
;