Penerbitan jurnal berimpak tinggi negara setanding Singapura, atasi Thailand

Wan Syamsul Amly
Januari 28, 2014 13:26 MYT
Pencapaian negara dalam penerbitan jurnal berimpak tinggi kini setanding Singapura dan mengatasi pencapaian Thailand.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia satu hasil signifikan selepas pelaksanaan Universiti Penyelidikan (RU) sejak tahun 2006.
"Pencapaian Malaysia setanding dengan negara jiran ASEAN seperti Singapura dan mengatasi Thailand dimana penyelidik negara kita telah menghasilkan 77,327 penerbitan dari tahun 2007 sehingga 2012.
"Singapura menghasilkan 78,031 dan Thailand sebanyak 50,786 sekali gus mengatasi beberapa negara utama Asia dan OIC," katanya.
Muhyiddin berkata demikian semasa Majlis Perutusan Tahunan 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching.
Perutusan itu merupakan yang pertama selepas penggabungan semula Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 pada 2013.
Jelas Muhyiddin, tempoh setahun pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 mula menampakkan hasilnya.
Katanya, enam sasaran awal yang sudah dicapai dalam masa 100 hari pelaksanaan PPPM menjadi bukti keseriusan Kementerian Pendidikan dalam memberi pendidikan berkualiti bertaraf dunia.
"Program Transformasi Daerah mencatatkan prestasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2013 merupakan yang terbaik dan peningkatan tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
"Selain itu, pencapaian murid tahun tiga di seluruh negara yang menguasai literasi Bahasa Malaysia ialah 99.1 peratus atau 440,591 murid manakala kadar numerasi meningkat kepada 99.3 peratus atau 441,571 murid selepas 3 tahun persekolahan," ujarnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, penataran maklumat, pentaksiran berasaskan sekolah dan memartabatkan Bahasa Melayu menjadi antara cabaran dan tumpuan utama Kementerian pada tahun ini.
"Kita akui ia memerlukan keazaman luar biasa. Cara berfikir, bertindak dan bekerja perlu ditambahbaik," katanya.
Jelasnya, transformasi pendidikan yang diusaha selama ini disifatkan legasi yang tidak hanya melibatkan pelajar hari ini namun secara keseluruhannya pada masa hadapan.
Pada majlis yang sama, logo baru Kementerian Pendidikan dilancar.
#jurnal #Muhyiddin #pendidikan #PPPM
;