Penerbitan bukan kriteria mutlak jadi profesor, saringan ketat
Harits Asyraf Hasnan
Februari 15, 2021 17:01 MYT
Februari 15, 2021 17:01 MYT
KUALA LUMPUR: Penerbitan bukanlah kriteria mutlak yang membolehkan seseorang pensyarah dipertimbangkan kenaikan pangkat sebagai profesor.
Itu tegas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar yang menyifatkan semua pemohon perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan selain perlu melalui beberapa proses saringan yang ketat.
"Dari segi proses dan prosedur kenaikan pangkat ke jawatan profesor yang dilaksanakan di UMT, permohonan yang dikemukakan oleh ahli akademik akan melalui pelbagai proses saringan ketat yang memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang telah diperakukan oleh Senat sebagai badan akademik tertinggi di universiti dan juga diluluskan oleh Lembaga Pengarah Univesiti sebagai Pihak Berkuasa Tertinggi di universiti.
"Kriteria kenaikan pangkat sebagai Profesor di UMT antara lain merangkumi amanah pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan buku dan artikel jurnal terindeks, pemindahan ilmu, pembentangan ilmiah serta kepimpinan akademik dan pengurusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nor Aieni, apabila permohonan dibawa ke Jawatankuasa Penapis di peringkat univesiti, ia akan disaring dan dinilai oleh jawatankuasa yang dianggotai antaranya oleh ahli Senat yang bertaraf profesor.
"Dari segi penerbitan, pihak Jawatankuasa Penapis di peringkat universiti akan mendapatkan pengesahan data penerbitan setiap calon melalui portal carian rasmi laman sawang Scopus atau WOS.
"Jika terdapat sebarang artikel jurnal yang tidak dapat disahkan atau tidak diindekskan oleh Scopus atau WOS, artikel yang disenaraikan oleh calon akan ditolak. Pada peringkat ini, mana-mana 'predatory journal' akan dapat dikesan oleh pihak jawatankuasa," ujarnya.
Memandang serius laporan Utusan Malaysia pada Ahad bertajuk 'Jalan pintas jadi profesor', Nor Aieni berkata, permohonan calon profesor akan turut dikemukakan kepada penilai luar yang terdiri daripada profesor dalam bidang yang berkaitan dengan kepakaran calon.
"Para penilai luar hanya dilantik dalam kalangan profesor tersohor yang mempunyai pencapaian H-Index sekurang-kurangnya 15 dalam bidang sains dan teknologi dan 10 dalam bidang sains sosial.
"Berdasarkan garis panduan, permohonan calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya tiga orang penilai luar termasuk seorang penilai luar dari luar negara.
"Dari segi aspek penerbitan, sekali lagi pada peringkat ini ia akan disahkan oleh penilai luar yang dilantik bahawa penerbitan calon adalah penerbitan yang sememangnya berwibawa," ujar Dr. Nor Aieni lagi
Tegasnya, permohonan calon akan dikira gagal jika tidak memenuhi aspek sokongan penilai luar yang ditetapkan.
Justeru, beliau mengulangi bahawa keseluruhan proses itu menggambarkan sesuatu permohonan kenaikan pangkat ke jawatan profesor atau profesor madya akan disaring dan dinilai secara telus, adil serta berhemah melalui pelbagai tapisan semakan dan saringan.
Langkah ini katanya adalah untuk menjamin ahli akademik yang diperakukan kenaikan pangkat merupakan mereka yang terbukti pencapaian dalam bidang kesarjanaan masing-masing.
#profesor
#kenaikan pangkat pensyarah
#ahli akademik
#Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar
#universiti malaysia terengganu