Penerbit, penulis dan karyawan sambut baik saranan perbaharui Dasar Buku Negara
Irwan Muhammad Zain
Mac 18, 2017 15:41 MYT
Mac 18, 2017 15:41 MYT
Saranan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi supaya kerajaan memperbaharui Dasar Buku Negara (DBN) mendapat sokongan penulis, penerbit buku dan karyawan.
Cadangan tersebut perlu disambut oleh kerajaan kerana sesebuah negara yang mahu menjadi negara maju wajar menikut acuan negara maju dari segi penerbitan.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron berpendapat saranan tersebut perlu disokong kerana perubahan teknologi dan sasaran baharu Transformasi Nasional 2050 (TN50) memerlukan dokongan bersepadu industri perbukuan.
Katanya, DBN perlu ditambah baik kerana teknologi yang sentiasa berubah dan pembacaan masyarakat lagi tidak terikat kepada kaedah konvensional sahaja.
"Sekarang zaman di mana, membaca bukan hanya buku fizikal tetapi telah berkembang kepada buku digital, perkara ini tidak ada dalam kerangka buku negara.
"Justeru sarana supaya DBN diperbaharui perlu kerajaan sambut bersesuaian dengan hasrat mahu menjadi negara maju dan agenda TN50," katanya kepada Astro AWANI.
Selain itu, Mohd Khair juga menegaskan, perkara yang berkaitan dengan buku dan kelimuan perlu ada dalam dasar negara.
Hujah beliau, sejarah telah membuktikan bahawa banyak tamadun dunia termasuk tamadun Islam yang mengangkat buku dan keilmuan.
"Oleh kerana itu, TN50 perlu mengambil berat soal industri buku dan tradisi ilmu kerana keduanya saling berkait rapat.
"Banyak tamadun dunia sebelum ini termasuk tamadun Islam yang mengangkat buku dan keilmuan," katanya lagi.
Manakala Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Dr Saleeh Rahamad pula berpendapat DBN perlu diangkat sebagai agenda pembangunan negara.
"DBN tidak seharusnya menjadi sekadar dokumentasi usang tetapi roh DBN itu perlu ada setiap kali pembentangan belanjawan," kata beliau.
Mengulas saranan supaya Majlis Buku Malaysia (MBM) mengaplikasikan kaedah Strategi Lautan Biru (BOS) dan melaksanakan inisiatif merentas sempadan kebiasaan, Dr Saleeh berpendapat ia wajar disambut dengan merangka pelan tindakan bersepadu antara pelbagai pihak.
"Dunia perbukuan tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja tanpa perencanaan daripada kerajaan. Apabila ada campur tangan kerajaan dengan lebih serius masalah perbukuan negara dapat dikurangkan," tambah beliau.
Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar), Ab Jalil Backer pula berpendapat pengubalan DBN yang baharu harus berteraskan pertumbuhan budaya ilmu di kalangan rakyat.
Kata beliau, kerajaan harus mengambil kira keperluan menyuburkan budaya perbahasan ilmu yang semakin kurang pada masa ini.
Hujah beliau, kemajuan industri buku tanpa kemajuan budaya ilmu akan melemahkan sesuatu negara dan bangsa itu.
"Kita dapati ruang ulasan, perbahasan dan kritikan buku bukan saja kian pupus dalam media masa kovensional malah tidak juga berkembang dalam media digital.
"Sebab itu, walaupun dari segi kadar pemilikan dan penerbitan buku jauh lebih baik berbanding ketika DBN diperkenalkan, industri buku negara tampak tidak bermaya dan bercahaya seperti sepatutnya," katanya.
Namun, Ab Jalil menegaskan DBN yang baharu harus bertolak dari kejayaan DBN 1985 kerana ia banyak menumpukan kepada hal-hal fizikal seperti jumlah pembaca, pemilikan buku, dan penerbitan buku dalam bahasa kebangsaan.
"Boleh dikatakan kita telah mencapai objektif tersebut.
"Malangnya kejayaan DBN 1985 tidak mapan kerana ia tidak diikuti oleh pembentukan dan pengembangan budaya ilmu," katanya lagi.
Ab Jalil juga berharap penggubalan DBN yang baharu juga harus mengekalkan objektif utama DBN 1985 iaitu menyuburkan perkembangan buku-buku dalam bahasa kebangsaan.
Bagi penulis, Al-Abror Mohd Yusuf pula DBN baharu itu mesti seimbang antara tuntutan zaman teknologi dengan hakikat "buku" tu sendiri.
Namun Al-Abror menekankan keperluan diperingkat pelaksanaan dasar baharu itu jika kerajaan menyambut saranan tersebut.
"Idea yang baik mesti disusuli dengan penyampaian atau pelaksanaan yang baik," ujarnya.
Baru-baru ini, ketika membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat, Budiman menyarankan agar kerajaan memperbaharui DBN yang yang telah diguna pakai sejak era 1980-an