Penerbit, pelakon iklan hari raya promosi judi akan dipanggil - Timbalan Ketua Polis Negara

Umavathi Ramayah
April 16, 2021 05:16 MYT
Acryl Sani Abdullah berkata, siasatan ke atas video tersebut akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon itu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Polis membuka kertas siasatan berhubung sebuah video iklan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah berkata, siasatan ke atas video tersebut akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon itu.
"Pada 15 April 2021 (semalam), terkesan sebuah video viral berdurasi dua minit satu saat yang mempromosikan perjudian dalam talian.
"Isi kandungan video ini didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatang kegusaran awam," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Acryl memaklumkan, satu laporan polis dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video itu.
BACA: Iklan judi raya: MCMC arah kandungan diturunkan
Justeru katanya, mereka yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan video itu dalam media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam.
Menurut Acryl lagi, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.
Beliau memberitahu, polis juga akan menghubungi Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membantu siasatan.
Video tersebut mengundang kecaman serta membangkitkan kemarahan masyarakat beragama Islam.
Iklan tersebut yang pada mulanya menceritakan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri kemudiannya bertukar kepada promosi aktiviti perjudian bagi mendapatkan wang untuk menyambut perayaan dengan meriah.
#iklan hari raya #perjudian secara dalam talian #Islam #kegusaran awam #Aidilfitri #Ketua Polis Negara #Timbalan Ketua Polis Negara #Polis Diraja Malaysia #Bukit Aman