Penerbit buku 'indie' tidak setuju dengan garis panduan BB1M baru

Syafique Shuib
April 30, 2014 08:00 MYT
Seorang penerbit buku bebas (indie) tidak setuju dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) hanya untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja.
Kata pemilik SeLUT Press Aloy Paradoks, ia seperti membantutkan usaha kerajaan yang ingin menggalakkan budaya membaca.
"Saya tetap tidak bersetuju. Apa yang sedang dikuatkuasakan ini adalah mengarut dan mempunyai kepentingan untuk sesetengah pihak.
"Ia sebenarnya telah membantutkan apa yang diusahakan oleh pihak kerajaan sendiri, iaitu menggalakkan budaya membaca. Ia juga seperti menidakkan kata-kata 'Masyarakat yang membaca adalah masyarakat yang berilmu'. Membaca bahan akademik bukanlah budaya, tapi kepentingan untuk peperiksaan," kata beliau.
Tambah beliau, untuk menjadi bangsa yang bijak, pembaca perlu membaca apa sahaja dan bukan hanya bahan bacaan akademik.
Bila ditanya jika garis panduan akan menjejaskan penjualan buku-buku indie, beliau berkata mereka mempunyai pembaca tersendiri dan para pembaca tetap mahukan buku tersebut samada boleh gunakan baucer atau tidak.
Sementara itu, pengarang Dewan Sastera Fadli Al-Akiti berkata beliau “tidak mahu masuk campur” namun berpendapat garis panduan ini dapat membuka mata semua pihak terhadap pelbagai bahan bacaan.
Beliau menyambut baik minat anak-anak muda untuk membaca tetapi berpendapat bahawa golongan ini lebih memilih novel-novel santai. Bukan hendak menyoal kualiti bahan bacaan mereka tetapi dengan garis panduan sebegini, mereka boleh meneroka bahan bacaan lain.
“Saya berpendapat bahawa anak-anak muda minat membaca, terutamanya kepada novel yang diterbitkan oleh penerbit indie. Banyak juga penulisan baharu di pasaran. Bukan saya hendak menyoal tentang kualiti kerana masing-masing mempunyai definisi tersendiri tentang kualiti dari segi pengisian dan penggunaan bahasa. Yang pasti, novel-novel berkenaan dekat di hati pembaca.
“Namun ada juga novel-novel yang diterbikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Novel-novel berkenaan diselitkan dengan fakta, maklumat dan nilai-nilai murni,” kata Fadli.
Tambah beliau, garis panduan ini mempunyai kebaikan dan keburukan.
“Saya ingin tahu juga bagaimana pelajar sastera ingin membeli buku jika mereka dikehendaki membeli pelbagai buku yang mungkin bukan dari genre ilmiah.
“Sebelum ini, baucar ini juga membenarkan pelajar-pelajar untuk membeli alat-alat tulis dan kertas yang mungkin tidak ada kena mengena dengan ilmu. Secara tidak langsung ia menurunkan beban pelajar,".
Menurut laporan Bernama, KPM telah memperkemaskan garis panduan pemberian BB1M ini yang berkuatkuasa pada 1 Mei 2014.
Oleh itu garis panduan tersebut memperketatkan peraturan kepada pekedai buku iaitu mana-mana pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut.
Ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M.
#Baucar Buku 1Malaysia #BB1M #Dewan Sastera
;