Penerbit buku di Malaysia digalak sertai Pesta Buku Antarabangsa Tokyo

Irwan Muhammad Zain
Julai 3, 2013 17:05 MYT
Penerbit-penerbit buku di Malaysia digalakkan untuk menyertai Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (TIBF) pada masa akan datang untuk mempromosikan karya-karya tempatan, bahasa Melayu dan budaya Malaysia ke negara matahari terbit itu.
Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som menjelaskan dengan menyertai TIBF, penerbit-penerbit tempatan dapat meluaskan lagi pasaran mereka dan juga bekerjasama dengan penerbit dari Jepun untuk memasarkan buku terbitan mereka selain mendapatkan hakcipta buku-buku dari Jepun.
Katanya, penerbit-penerbit tempatan boleh mengambil contoh inisiatif yang dilakukan oleh pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang sering menyertai TIBF dan juga pesta-pesta buku di negara lain untuk meluaskan pasaran mereka dan mempromosikan negara melalui buku.
Shaharuddin berkata pihak kedutaan Malaysia di Jepun sedia untuk membantu penerbit-penerbit di Malaysia jika mereka berminat untuk menyertai TIBF pada masa akan datang.
Selain itu, pihak kedutaan juga sedia membantu penerbit-penerbit di Malaysia jika ada antara mereka berminat untuk bekerjasama dengan penerbit dari Jepun untuk memasarkan buku-buku terbitan mereka.
"Sekiranya ada minat memang pihak kedutaan akan cuba memberi maklumat ataupun 'contact' ataupun mana-mana pihak yang berkaitan penerbitan dan terjemahan dalam usaha kita membantu penerbit-penerbit di Malaysia meluaskan pasaran mereka.
"Kami di kedutaan Malaysia di Jepun amat mengalu-alukan jika ada penerbit di Malaysia yang mahu menembusi pasaran di Jepun dengan menterjemahkan karya mereka kerana ini dapat mempromosikan bahasa Melayu, budaya Melayu, dapat promosikan negara dan juga membantu penulis-penulis dari Malaysia mengembangkan bakat mereka," katanya selepas melancarkan 23 judul buku terbitan ITBM yang telah diterjemahkan ke bahasa Jepun.
Mengulas penyertaan ITBM ke TIBF, Shaharuddin menjelaskan beliau bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan dan berharap ITBM akan dipilih mewakili Malaysia menjadi negara tamu di TIBF. Katanya dengan menjadi negara tamu, ITBM boleh mempromosikan Malaysia melalui buku dan budaya seterusnya dapat membantu penulis-penulis tempatan mencari tapak di Jepun.
"Memang elok kalau kita dapat jadi negara tamu dimana setiap tahun ada negara diberi peluang untuk jadi negara tamu dan kita juga ada keupayaan untuk menjadi negara tamu.
"Saya sudah berbincang dengan pihak ITBM, sekiranya kita dapat peluang, elok kita timbangkan kerana ini peluang untuk kita kenalkan bukan sahaja bahasa tapi juga budaya Melayu," katanya.
Beliau juga menjelaskan pihaknya bersedia untuk memberi sokongan kepada penerbit-penerbit tempatan untuk menembusi pasaran Jepun.
"Kami (pihak kedutaan) sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada mana-mana pihak khususnya ITBM jika mereka berminat menjadi negara tamu dan memasarkan buku di Jepun," tambah beliau.
TIBF ke 20 telah disempurnakan pelancarannya oleh Putera Mahkota Jepun, Putera Akishinomiya dalam satu upacara ringkas dengan memotong riben bersama duta negara-negara yang menyertai pesta buku ini dan juga bersama pihak penganjur. Sebanyak 25 buah negara dan lebih seribu penerbit menyertai TIBF kali ini.
Ini merupakan penyertaan kali ketiga ITBM ke TIBF dan melalui penyertaan ke pesta buku ini banyak perjanjian usahasama khususnya menterjemahkan karya penulis Malaysia ke bahasa Jepun dan buku-buku Jepun ke bahasa Melayu telah dilakukan.
#Datuk Shaharuddin Md Som #Institut Terjemahan dan Buku Malaysia #Pesta Buku Antarabangsa Tokyo
;