Penerbangan terus pertama dari Shanghai Pudong ke Pulau Pinang tiba di LTAPP

Bernama
Ogos 1, 2024 15:45 MYT
Pesawat Shanghai Airlines itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini pada pukul 7.11 pagi. - Foto FB Wong Hon Wai
GEORGE TOWN: Pulau Pinang hari ini menyambut ketibaan penerbangan terus pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong yang dikendalikan Shanghai Airlines, sekali gus mencatatkan satu lagi peristiwa penting bagi negeri ini dalam usahanya menembusi pasaran pelancongan antarabangsa.
Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini pada pukul 7.11 pagi.
Pengerusi jawatankuasa pelancongan dan ekonomi kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pelancaran penerbangan terus itu bukan sahaja dapat membina jambatan persahabatan antara penduduk Shanghai dan Pulau Pinang, tetapi turut menyuburkan lagi inisiatif pertukaran budaya dan ekonomi antara China dan Malaysia.
"Penerbangan terus baharu ini membuka Pulau Pinang kepada pasaran luas China Timur. Penduduk dan perniagaan di Shanghai serta wilayah berjiran dengannya kini boleh memanfaatkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi termaju China, dan rangkaian penerbangan domestik yang komprehensif untuk menyambung perjalanan yang lancar ke Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong.
"Laluan baharu ini dijangka dapat mencetuskan minat baharu dalam kalangan pelancong China Timur untuk berurusan dengan Pulau Pinang, di samping menggiatkan semula industri pelancongan negeri, dan dengan lonjakan jumlah ketibaan pelawat dari China Timur, kami menjangka ia dapat mencetuskan peluang pertumbuhan yang besar untuk sektor pelancongan negeri," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata hotel, restoran, kedai runcit dan tempat hiburan juga pasti akan mendapat manfaat, dan seterusnya memacu pembangunan ekonomi keseluruhan negeri.
Wong berkata China merupakan negara sumber pelancong ketiga terbesar bagi industri pelancongan Pulau Pinang selepas Indonesia dan Singapura.
Dengan penambahan penerbangan Shanghai Airlines, beliau berkata kini terdapat tujuh bandar di China mempunyai kemudahan perkhidmatan penerbangan terus ke Pulau Pinang, yang terdiri daripada Xiamen (Xiamen Airlines), Guangzhou (China Southern Airlines), Shenzhen (Shenzhen Airlines), Hong Kong (Cathay Pacific dan AirAsia), Shanghai (Juneyao Airlines dan Shanghai Airlines), Haikou (penerbangan sewa Batik Air), dan Chongqing (penerbangan sewaan Firefly Airlines).
Penerbangan terus Shanghai Airlines Shangai-Pulau Pinang dengan pesawat Boeing 738 yang memakan masa sejam 25 minit akan beroperasi pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.
Dengan penerbangan ini juga, kini Pulau Pinang mempunyai 31 penerbangan terus antarabangsa yang disediakan oleh pelbagai syarikat penerbangan, menghubungkan 17 bandar antarabangsa, yang terdiri daripada Shanghai, Shenzhen, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Dubai, Singapura, Bangkok, Phuket, Medan , Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City, Haikou (penerbangan sewa) dan Chongqing (penerbangan sewa).
Wong berkata menjelang akhir tahun ini Pulau Pinang juga menjangka menerima beberapa lagi penerbangan terus antarabangsa termasuk dari Chennai, India yang merupakan laluan baharu, satu lagi penerbangan terus dari Hong Kong dan lebih banyak penerbangan terus sewa dari China.
-- BERNAMA
#penerbangan terus pertama #Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang #Shanghai Pudong #Shanghai Airlines #Wong Hon Wai #sektor pelancongan
;