Penerbangan Subang-Pangkor lonjak kehadiran pelancong - MB Perak

Aida Aziz
Januari 25, 2022 18:12 MYT
SKS Airways menawarkan penerbangan setiap hari dari Subang ke Pulau Pangkor bermula esok (26 Januari). - Gambar Astro AWANI
PANGKOR: Penerbangan komersial dari Subang ke Pulau Pangkor bermula esok mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau peranginan terkenal itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penerbangan dengan pesawat Twin Otter Turboprop itu memberi peluang kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke sini menggunakan jalan udara.
Bahkan, kata Saarani, penerbangan tersebut juga boleh menjimatkan masa tiga jam tanpa perlu melalui lebuh raya dan berbaris panjang di jeti.
"Ini satu peluang baik dan saya doakan ia akan menjadi permulaan kepada kemeriahan dan kegemilangan semula pengunjung ke Pangkor.
"Kita dapat lihat peningkatan pengujung pada bulan Disember 2021 dengan jumlah 134,808 orang," katanya.
Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan SKS Airways Inaugural Flight Subang - Pangkor di Padang Terbang Pulau Pangkor di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengarah SKS Airways, Datuk Fahrul Rohman Ahmad.
Menurut Saarani, peningkatan jumlah pengunjung itu memberi keyakinan bahawa industri pelancongan khususnya di Pulau Pangkor tetap utuh sekali gus memacu pemulihan ekonomi negeri.
Saarani berkata, kerajaan negeri juga akan mengambil pengajaran dengan beberapa kelemahan yang ada sebelum ini berhubung penerbangan ke Pangkor.
"Saya percaya kita belajar daripada barangkali kelemahan silam. Saya sudah minta Tourism Perak dan pihak yang terbabit dalam sektor pelancongan untuk sentiasa mempromosi Pangkor.
"Selain mempromosi kaedah bagaimana untuk sampai ke Pangkor, selain jalan darat dan feri kita turut promosi jalan udara (pesawat)," katanya lagi.
Secara rasmi, SKS Airways menawarkan penerbangan setiap hari dari Subang ke Pulau Pangkor bermula esok (26 Januari).
Penerbangan dijangka mengambil masa selama 55 minit dengan kapasiti 19 orang penumpang termasuk krew penerbangan.
Sehubungan itu, Saarani optimis melalui usaha pelbagai pihak termasuk SKS Airways akan turut memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
SKS Airways turut menawarkan akses mudah ke lawatan pulau-pulau (island hopping) dengan penerbangan bermula antara Subang ke Pangkor (26 Januari), Subang ke Pulau Redang (31 Januari), ke Pulau Tioman dari Subang dan Johor Bahru pada suku kedua tahun 2022.
#SKS Airways #Subang - Pangkor #Pulau Pangkor #Saarani Mohamad
;