Penerbangan Scoot ke LTAM beri impak positif kepada pelancongan Melaka

Bernama
Ogos 9, 2024 08:50 MYT
Ab Rauf berkata, selain mengaktifkan semula operasi LTAM, operasi penerbangan itu turut menjayakan hasrat kerajaan negeri dalam merealisasi kedatangan 18.7 juta pelancong. - Gambar fail
MELAKA: Penerbangan lima kali seminggu ke Melaka yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penerbangan berkenaan juga membantu mengaktifkan semula operasi LTAM selain menjayakan hasrat kerajaan negeri dalam merealisasikan kedatangan 18.7 juta pelancong termasuk dari luar negara sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
"Saya melihat pemilihan LTAM oleh syarikat berkenaan dapat mempromosikan Melaka dan pelancong boleh ke Melaka menerusi Singapura menggunakan penerbangan tambang rendah yang ditawarkan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka 2024 yang turut dihadiri Pengerusi MATTA Melaka Chapter Goh Hock Gin di pusat beli-belah Mahkota Parade sini hari ini.
Ab Rauf berkata kerajaan Melaka berharap syarikat penerbangan itu dapat menggunakan LTAM sebagai hab penerbangan ke lebih banyak destinasi pelancongan lain pada masa hadapan.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga sedang berunding dengan beberapa syarikat penerbangan lain untuk beroperasi di LTAM dalam usaha menawarkan lebih banyak penerbangan baharu ke pelbagai destinasi pada masa hadapan.
Pada Selasa, media melaporkan Scoot akan melakukan penerbangan lima kali seminggu ke Melaka mulai 23 Okt ini dan tempahan tiket boleh dibuat bermula pada 6 Ogos lepas melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan saluran lain secara progresif, dengan tambang kelas ekonomi bermula S$69, termasuk cukai.
Terdahulu, Ab Rauf berkata Pameran MATTA Melaka 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan lebih 30 penggiat pelancongan antaranya ejen pelancongan, pengusaha produk pelancongan dan hotel dengan menyasarkan nilai jualan pakej pelancongan sebanyak RM15 juta.
"Pameran MATTA Melaka 2024 membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan sektor pelancongan negeri kekal berdaya saing dan terus berkembang," katanya.
-- BERNAMA
#pelancongan #Melaka #penerbangan #scoot #Ab Rauf Yusoh