Penerbangan langsung Kota Bharu-Singapura dibuka

Vivi Sumanti
Julai 2, 2019 18:49 MYT
Scoot yang juga anak syarikat Singapore Airlines Group akan mengendalikan penerbangan Kota Bharu - Singapura akan memulakan operasi bagi penerbangan di destinasi itu sebanyak tiga kali seminggu. - Astro AWANI
Rakyat Kelantan kini boleh menaiki penerbangan terus ke Singapura dengan terlancarnya penerbangan Scoot di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu hari ini.
LTSIP menerima ketibaan pertama penumbang penerbangan dari negara itu seramai 130 penumpang kira-kira jam 4.05 petang tadi.
Scoot yang juga anak syarikat Singapore Airlines Group akan mengendalikan penerbangan Kota Bharu - Singapura akan memulakan operasi bagi penerbangan di destinasi itu sebanyak tiga kali seminggu bermula hari ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Hassan Mohamood berkata, penerbangan langsung dari luar negara itu bakal merancakkan aktiviti pelancongan di negeri ini khususnya bagi menghadapi Tahun Melawat Kelantan 2020.
"Kita sebenarnya sudah lama menunggu saat ini, malah kita rancang lebih banyak penerbangan langsung dari Kelantan ke luar negara.
"Antaranya, kita menanti adanya penerbangan terus dari dan ke Kelantan ke negara lain seperti Vietnam dan Bangkok," katanya ketika ditemui di LTSIP, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia negeri, Mohd Aidil Afizie Daud, Pengurus Besar Pelancongan Wilayah Timur,Hafiz Hazin dan Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan Malaysia Airport Holdings, Mohamed Sallauddin Mat Sah.
Hassan berkata, Scoot turut membuat penerbangan pertama dari LTSIP ke Lapangan Terbang Changi, Singapura petang tadi membabitkan jumlah penumpang yang sama.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan dalam kenyataan media berkata, penerbangan dari dua destinasi itu akan mengambil masa sejam setengah dan menjimatkan masa lebih dua jam berbanding penumpang dari Kelantan sebelum ini perlu membuat transit di Kuala Lumpur untuk ke Singapura.
Katanya, penerbangan terus itu menjadikan bandar ini destinasi ke tujuh Scoot di Malaysia selepas Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang.
"Bermula hari ini, Scoot akan membuat penerbangan tiga kali seminggu pada hari Selasa, Ahad dan Jumaat dengan tempahan boleh di buat melalui aplikasi Scoot atau laman sesawang www.FlyScoot.com," katanya.
#Kota Bharu #Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra #LTSIP #penerbangan #penerbangan terus #penumpang #pesawat #scoot #Singapura #syarikat penerbangan
;