Penerbangan ke Pekanbaru tertunda gara-gara perkataan 'bom'

Raffi Bachik
Ogos 16, 2016 20:29 MYT
Pihak polis bersama unit pemusnah bom bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan termasuk terhadap beg yang dibawa suami isteri terbabit, tiada sebarang bom ditemui. - Gambar fail
Sebuah pesawat komersil yang dijadualkan berlepas ke Pekanbaru, Indonesia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka tertunda selama dua jam selepas petugas kaunter jualan tiket di sana mendakwa terdengar perkataan bom dalam perbualan antara sepasang suami isteri.
Namun, setelah disiasat pihak polis, mereka mendapati ia hanya kesilapan komunikasi di kaunter pendaftaran lapangan terbang tersebut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abd Adzis Shaikh Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 10.45 pagi Selasa mengatakan ada individu mengeluarkan perkataan bom ketika ingin mendaftar masuk di kaunter pendaftaran.
“Ini merupakan salah satu salah faham antara penumpang dengan pekerja di kiosk yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka yang mana tiada langsung ancaman bom, hanya perkataan bom." kata Shaikh Abd Aziz.
“Sebenarnya tidak wujud fizikal bom, saya mengganggap bahawa keselamatan atau ancaman ini sifar dan dari hasil siasatan kita inilah masalah komunikasi antara penumpang dan pekerja di sini," tambahnya.
Beliau berkata, selepas mendapati keadaan selamat sehingga jam 2 petang pesawat dibenarkan untuk berlepas ke destinasi yang dijadualkan.
Sejurus itu katanya, pihak polis bersama unit pemusnah bom bergegas ketempat kejadian dan hasil pemeriksaan termasuk terhadap beg yang dibawa suami isteri terbabit, tiada sebarang bom ditemui.
#bom #Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka #Pekanbaru
;