Penerbangan hijau jadi agenda utama mesyuarat NACC minggu depan - Loke

Bernama
Oktober 5, 2023 21:45 MYT
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika berucap pada majlis perasmian Green Logistics Partnership Conference 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penerbangan hijau akan menjadi agenda utama bagi mesyuarat Majlis Perundingan Penerbangan Kebangsaan (NACC) pada 11 Oktober ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
NACC ditubuhkan di bawah Kementerian Pengangkutan bertujuan menumpukan pembangunan, menangani cabaran serta menetapkan hala tuju sektor penerbangan tempatan.
Beliau berkata NACC akan meneliti usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai hab bahan api hijau untuk syarikat penghantaran.
"Kita mahu membantu syarikat penerbangan mengurangkan jejak karbon mereka dengan menambah baik kecekapan operasi, memperkenalkan mekanisme lebih baik dari segi kawalan ruang udara supaya kapal terbang dapat mendarat dengan lebih cepat, kurang membakar bahan api serta menyumbang kepada kemampanan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perkongsian Logistik Hijau 2023 di sini, pada Khamis.
Beliau akan membuat susulan dengan syarikat minyak dan gas negara, Petronas, berhubung usaha dan cara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bahan api hijau, katanya.
Loke berkata pihaknya terbuka kepada sebarang idea dan cadangan selain bersedia untuk mendengar serta belajar daripada amalan terbaik.
"Kita mahu menerima pakai amalan terbaik ini dalam kementerian. Kami komited untuk menangani sebarang halangan yang kita hadapi.
"Sebagai Menteri Pengangkutan, peranan saya adalah menyemak pengawalseliaan, dan dasar serta mengenal pasti sebarang halangan yang menyekat kemampanan," katanya.
Beliau menekankan pihaknya perlu menjadikan perniagaan bergerak seiring dengan agenda hijau mereka dengan lebih baik.
"Alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah komponen penting bagi banyak entiti perniagaan masa kini, dan kami berada di sini untuk menyokong agenda ini.
"Jadi, kami berharap dapat bekerjasama, dan Kementerian Pengangkutan akan menjadi penyokong paling utama apabila melibatkan perkara berkaitan kemampanan," katanya.
-- BERNAMA
#penerbangan hijau #Majlis Perundingan Penerbangan Kebangsaan #NACC #Kementerian Pengangkutan #Anthony Loke
;