Penerbangan bawa balik jenazah mendiang Joseph Kurup dibatalkan

Sinar Harian
April 18, 2024 11:15 MYT
Joseph meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur petang semalam. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Penerbangan membawa jenazah mendiang pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup balik ke Sabah yang dijadualkan berlepas jam 9.15 pagi ini terpaksa dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.
Jenazah mendiang sepatutnya dibawa melalui penerbangan komersial dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu untuk upacara penghormatan terakhir yang diadakan di Fook Lu Siew Funeral Parlour di Jalan Tuaran, di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pegawai media anak mendiang, Datuk Arthur Joseph Kurup, perkembangan semasa mengenai penerbangan membawa jenazah akan dimaklumkan semula nanti.
"Saya akan maklum semula waktu penerbangan terkini setelah mendapat maklum balas daripada pihak MAS.
"Maaf atas segala kesulitan," katanya hari ini.
Joseph, 80, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur petang semalam. - Sinar Harian
#Joseph Kurup #letusan Gunung Ruang #penerbangan dibatalkan #Kota Kinabalu
;