Penerbangan AirAsia percuma sepanjang hayat untuk pemenang emas Olimpik dari ASEAN
Madiha Abdullah
Ogos 24, 2016 14:38 MYT
Ogos 24, 2016 14:38 MYT
NAMPAKNYA atlet-atlet negara kini memiliki satu lagi sebab untuk berusaha lebih gigih dan memenangi pingat emas di temasya Sukan Olimpik akan datang.
Biarpun pingat emas disifatkan sebagai hadiah kepada negara dan ganjaran kepada penat lelah diri sendiri, namun tentunya insentif tambahan juga boleh menjadi pemangkin semangat.
Syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia mengumumkan ganjaran penerbangan percuma sepanjang hayat untuk semua pemenang pingat emas dari negara Asia Tenggara, di Sukan Olimpik Rio 2016.
Tidak dilupakan, pemenang pingat perak dan gangsa pula menerima ganjaran penerbangan percuma, masing-masing untuk tempoh lima dan tiga tahun.
Pemberian ganjaran ini bermakna semua atlet terbabit akan terbang secara percuma ke 120 destinasi di seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memaklumkan, insentif itu diberikan atas rasa bangga dengan pencapaian atlet dari 10 buah negara terbabit, dalam memberikan saingan kepada atlet-atlet terbaik dunia.
"Mereka (atlet-atlet) ini membuktikan dengan keyakinan yang tinggi dan usaha yang tidak mengenal erti penat, akan membuahkan hasil.
"Ini membuktikan atlet dari Asia Tenggara juga mampu bersaing di peringkat tertinggi," kata Tony.
Beliau juga berharap akan dapat melihat lebih banyak kilauan pingat di Sukan Olimpik yang akan datang.