Penentuan jenayah ringan atau berat adalah kuasa penuh PDRM
Harits Asyraf Hasnan
Disember 3, 2019 11:39 MYT
Disember 3, 2019 11:39 MYT
Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat siasatan serta menentukan tahap kesalahan yang mendepani suspek.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berpendapat bahawa undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) tidak lengkap kerana tidak membezakan perbuatan yang ringan dan perbuatan yang berat.
"Umumnya, di bawah undang-undang ini juga, kita gunakannya untuk menahan mereka yang terlibat dengan keganasan, umpamanya seperti melengkapi diri mereka dengan bom (pengebom bunuh diri) ataupun membuat perancangan untuk membunuh seseorang.
"Di masa yang sama, ada juga bukti yang tidak begitu kuat seperti mereka cuma terperangkap dengan mengambil gambar bersama orang yang kemudiannya dikenali sebagai seorang pengganas.
"Bukanlah salah dia (suspek). Sebaliknya dia tak kenal orang itu. Atau pun dia memberi bantuan wang RM200 atau RM300 yang tidak boleh menjatuhkan kerajaan. Ini berlaku.
"Terpulang kepada pihak polis untuk mengasingkan tuduhan-tuduhan yang tidak cukup asasnya dengan (tuduhan) yang jelas memberi ancaman terhadap keselamatan negara," katanya di Dewak Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Santhara (PH-Segamat) berkenaan tiada perincian berhubung sebarang kesalahan yang disabitkan dengan SOSMA termasuk melibatkan penahanan beberapa pemimpin DAP.
Justeru, Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan telah mengkaji semula undang-undang berunsur zalim dalam memastikan pengasingan jenayah sama ada berat mahupun ringan dapat dilaksanakan.
#akta drakonian
#akta zalim
#keganasan
#Mahathir Mohamad
#PDRM
#pengganas
#Perdana Menteri
#undang-undang