Penentuan 1 Syawal: Kekal tenang, serahkan kepada pihak berautoriti - Mufti Selangor
Astro Awani
April 7, 2023 21:34 MYT
April 7, 2023 21:34 MYT
KUALA LUMPUR: Permulaan awal bulan Islam adalah bergantung kepada penampakan hilal dan data-data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara.
Meskipun begitu, menurut Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, setiap negara mempunyai matla'ruyah yang berbeza dan penentuan awal syawal di satu-satu negara tidak tertakluk kepada kenampakan hilal atau data-data kedudukannya di negara lain.
"Sebagai penegasan, bilangan hari dalam sebulan menurut kalendar Islam adalah sama ada 29 atau 30 hari sahaja.
"Maka, adalah dinasihatkan untuk masyarakat Islam kekal tenang dalam keadaan harmoni menunggu pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadhan 1444H bersamaan 20 April 2023," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, Malaysia telah mengamalkan penggunaan kriteria Imkan ar-Ru’yah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah sejak tahun 1992.
Kriteria ini telah ditambah baik bermula bulan Muharram 1443H setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun.
Justeru, katanya ujat Islam dinasihatkan supaya menghormati semua proses yang telah ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawwal 1444H kepada pihak berautoriti.
"Imkan ar-Ru’yah sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) adalah...
"...hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah," tambah beliau.
Menurut kriteria ini, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan pada tanggal 29 haribulan hijriah maka keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baharu.
Namun, jika tidak kelihatan maka keesokannya disempurnakan menjadi 30 haribulan.