Penemuan telefon kunci utama cari motif kematian Nur Farah Kartini - Pakar

Sinar Harian
Julai 18, 2024 00:40 MYT
Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik PDRM ketika menemui telefon pintar dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Penemuan telefon pintar milik mangsa kes pembunuhan menjadi kunci utama dalam mencari motif sebenar kematian individu terlibat.
Pakar kriminologi dari Management and Science University (MSU), Nadiah Syariani Md Shariff bagaimanapun berkata, ia juga bergantung kepada maklumat yang dijumpai dalam alat telekomunikasi berkenaan.
“Penemuan barangan peribadi milik mangsa (bunuh) terutamanya telefon pintar boleh menjadi bahan bukti kolaboratif dan sangat membantu tetapi ia juga bergantung kepada maklumat yang dijumpai di dalamnya.
“Jika ada maklumat yang dijumpai di dalam telefon itu ia sangat membantu terutamanya dalam memahami kronologi jenayah dan kebarangkalian motif jenayah tersebut berlaku.
“Selain itu, hasil maklumat yang terdapat di dalam alat telekomunikasi itu juga turut membolehkan penentuan hala tuju siasatan pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penemuan sebuah telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah pada Rabu, yang menjadi mangsa pembunuhan kejam individu dikenalinya hingga menggemparkan negara.
Bahan bukti penting itu berjaya ditemui Pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tali air di jalan Sri Kledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Terdahulu, suspek yang disyaki terlibat kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dibawa ke lokasi berkenaan sekitar jam 11.40 pagi.
Lelaki berusia 26 tahun berpakaian lokap bewarna oren serta bergari berada di lokasi sekitar lima minit dengan dikawal ketat anggota polis.
Setakat semalam, seramai 26 individu telah diambil keterangan bagi bantu siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, mereka yang dipanggil terdiri kenalan dan rakan sepejabat mangsa serta saksi awam.
Menurutnya, beberapa anggota polis yang merupakan rakan sepejabat suspek turut dipanggil bagi membantu siasatan. - Sinar Harian
#telefon pintar #Nur Farah Kartini Abdullah #siasatan #motif sebenar