Penemuan mayat wanita separuh bogel, kembung dan berulat: Polis tahan dua lelaki
Abd Razak Mohd Ali
Julai 3, 2020 14:36 MYT
Julai 3, 2020 14:36 MYT
Polis menahan dua lelaki susulan penemuan mayat seorang wanita separuh bogel di dalam kebun sawit Jalan Sungkai-Bidor, dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek pertama berusia 38 tahun ditahan di Tanjung Tualang, Perak pada Rabu manakala suspek kedua berusia 48 tahun ditahan di Jalan Patani, Pulau Pinang.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 Julai.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui motif kejadian dan kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya di sini, hari ini.
Pada Isnin, kira-kira jam 1.45 petang, polis menerima maklumat orang awam mengenai penemuan mayat wanita tanpa identiti di dalam kebun sawit Jalan Sungkai-Bidor.
Wan Azharuddin berkata, siasatan awal polis mendapati, si mati dipercayai lingkungan umur 40-an dalam keadaan separuh bogel.
Menurutnya, mayat mangsa telah kembung, berulat dan terdapat kesan seretan pada permukaan tanah berdekatan si mati.
Bagaimanapun, katanya, siasatan di tempat kejadian oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak tidak menemui sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat.
“Hasil bedah siasat ke atas mayat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh telah menemui kesan kecederaan tisu lembut pada si mati disebabkan objek tumpul yang dipercayai berpadanan dengan objek tumpul seperti penumbuk atau yang seumpamanya,” ujarnya.
Menurut Wan Azharuddin, hasil semakan melalui rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapatinya wanita itu berbangsa Cina India, warganegara Malaysia dan berumur 47 tahun.
“Siasatan lanjut juga mendapati terdapat satu laporan polis yang dibuat oleh adik saudara si mati tentang si mati yang tidak pulang ke rumah sejak 9 Jun lalu,” katanya.