Penemuan mayat: Polis Kuala Selangor minta pihak hilang ahli keluarga tampil ke balai
Bernama
Januari 15, 2022 22:38 MYT
Januari 15, 2022 22:38 MYT
SHAH ALAM: Polis Kuala Selangor memohon mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga atau saudara mara agar segera menghubungi atau tampil ke balai polis di daerah itu atau mana-mana balai berdekatan susulan penemuan satu mayat lelaki, di Jeti Kelip-Kelip Kampung Kuantan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata mayat lelaki lengkap berpakaian itu ditemukan setelah dimaklumkan orang ramai pada kira-kira pukul 9 pagi, dalam keadaan tersangkut pada bahagian pokok di dalam sungai, kira-kira 500 meter dari jeti tersebut.
Ramli berkata berdasarkan maklumat terbaharu yang diperoleh pihaknya, mayat tersebut berkemungkinan dihanyutkan dari Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu, Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
"Tapi kita belum disahkan sama ada betul atau tidak ia dari sana (Bukit Sentosa). Setakat ini, identiti mayat itu belum dikenal pasti namun, disyaki mayat warga asing berusia sekitar 40-an.
"Tidak dijumpai sebarang pengenalan diri pada tubuh mangsa dan pemeriksaan di tempat kejadian juga tidak menemukan sebarang petunjuk yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ramli, pihakya juga tidak menemukan sebarang tanda kecederaan akibat kelakuan jenayah pada tubuh mangsa dan setakat ini hasil bedah siasat, adalah disebabkan lemas.
-- BERNAMA
#Polis Kuala Selangor
#penemuan mayat
#Jeti Kelip-Kelip Kampung Kuantan
#Supt Ramli Kasa
#mayat warga asing