Penemuan Masjid Lama Ipoh yang 'hanyut' ke Kampung Gajah

Aida Aziz
April 28, 2023 10:02 MYT
Menurut Nor Hisham, Kampung Ipoh 'lenyap' sepenuhnya apabila masjid lama itu dipindahkan atau 'dihanyutkan' mengikut sungai ke Kampung Gajah. - Foto Nor Hisham Zulkiflee
TIDAK ramai tahu kewujudan Masjid Lama yang terletak di tengah-tengah bandar raya Ipoh sekitar tahun 1870, sebelum ia 'dihanyutkan' ke Kampung Bandar, Kampung Gajah.
Malah masjid yang mencecah usia lebih 100 tahun itu juga merupakan antara masjid tertua di Kinta, sekali gus menguatkan bukti tinggalan sejarah masyarakat Melayu di Ipoh.
Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee ketika ditemui berkata, penemuan terbaharu mengenai kewujudan masjid itu digerakkan oleh persatuannya, dengan objektif 'menyelak' lebih banyak khazanah Melayu yang bertapak di sini.
Katanya, menerusi kajian yang dijalankan pihaknya baru-baru ini, terdapat dokumen yang mencatatkan pelan masjid tersebut terletak di tapak Bangunan Seri Kinta, Ipoh yang ada sekarang.
"Dahulunya ada Kampung Masjid Lama di sini, tetapi malangnya ia sudah lenyap. Lokasinya di sekitar Jambatan Sultan Idris.
"Setelah Kampung Ipoh berkembang jadi bandar, perlahan-lahan kampung itu mulai lenyap.
"Ia lenyap sepenuhnya apabila masjid tersebut dipindahkan atau mengikut catatan sejarah masjid itu dihanyutkan mengikut sungai ke Kampung Gajah," katanya.
Kata Nor Hisham, masjid dengan nama baharu, Masjid Al-Madinah Kampong Bandar itu kemudiannya dibina semula pada tahun 1890 menggunakan hampir keseluruhan bahan asal.
Alasan masjid itu terpaksa dipindahkan adalah kerana tapak masjid berkenaan telah diambil alih oleh kerajaan yang ditadbir British ketika itu.
"Sewaktu zaman itu, Ipoh sedang membangun. Jadi mereka mengambil alih tapak masjid tersebut dan pampasan daripada pengambilalihan itu terbinanya masjid baharu di lokasi lain iaitu Masjid Panglima Kinta," katanya.
Tambahnya, pemilihan Kampung Gajah juga didorong faktor penduduk yang ramai di samping keperluan yang lebih mendesak di kawasan tersebut.
"Tinjauan saya di Kampung Gajah sebelum ini mendapati masjid itu masih lagi sama, mereka mengekalkan 70 peratus seni binaan asal.
"Malangnya di kawasan itu hanya beberapa keluarga yang tinggal, memandangkan ia sering dinaiki air Sungai Perak jika banjir.
"Difahamkan masjid itu juga sudah tidak digunakan, tidak pasti jika ada sebarang pembaharuan sekarang, sayang jika rosak begitu sahaja tanpa penjagaan atau baik pulih" tegasnya.
Jelas aktivis sejarah itu lagi, dengan penemuan baharu itu diharapkan supaya pihak berwajib mengambil tindakan susulan bagi memulihara tapak asal di Bangunan Seri Kinta atau masjid itu sendiri, supaya khazanah negeri tidak lenyap begitu sahaja.
Lebih menyedihkan jika ia menerima nasib sama seperti banyak warisan yang hilang ditelan zaman sebelum ini.
Ini kerana menurutnya, sejarah bangunan di Ipoh selama ini banyak terkait dengan seni bina tinggalan kolonial.
"Saya dan rakan-rakan dalam persatuan cuba mencari masjid-masjid lama. Kami mahu membuktikan tinggalan warisan masyarakat Melayu di Ipoh.
"Apabila bercakap pasal warisan Melayu di Ipoh, hanya dua sahaja yang sering disebut iaitu Masjid Panglima Kinta dan Masjid Paloh. Kita cari dan selidik apa lagi yang ada.
"Sebab, kita boleh lihat hari ini, warisan yang diketengahkan di sini adalah kolonial dan Cina. Kurangnya monumen tinggalan masyarakat Melayu atau Islam. Kita mahu perkayakan warisan yang ada," katanya.
#masjid lama #Ipoh #masjid hanyut #Persatuan Warisan Perak
;