Penemuan daging babi di surau: Polis akan ronda semua rumah ibadah di Melaka

Astro Awani
November 27, 2018 17:14 MYT
polis sudah mengambil semua bukti untuk ujian kimia bagi mengesahkan jenis daging berkenaan. - Gambar Astro AWANI
Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan sudah mengarahkan anggotanya untuk meronda semua rumah ibadat termasuk di surau dan masjid di negeri berkenaan.
Arahan itu dikeluarkan selepas penemuan beberapa ketul daging dipercayai daging babi di dua surau di Serkam, Jasin.
Dalam insiden pagi tadi itu, pelaku turut meninggalkan segulung nota yang ditulis di atas kertas manila.
Bagaimanapun Raja Shahrom berkata, polis sudah mengambil semua bukti untuk ujian kimia bagi mengesahkan jenis daging berkenaan.
“Daripada awalnya, dipercayai tulang itu tulang daging khinzir dan dibawa ke makmal kimia, bersama ketulan itu adalah dua pelikat yang digulung. Pada saya, orang yang buat ini seorang yang gila," kata Raja Sharom.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan isi nota yang ditinggalkan dan memaklumkan kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Sekitar jam lima pagi tadi, jemaah surau Bukit Serkam menemui ketulan daging dan tulang di hadapan surau ketika hadir untuk sembahyang Subuh.
Sementara Surau An-Nur yang terletak kira-kira dua kilometer dari Surau Bukit Serkam turut dikejutkan dengan penemuan ketulan daging oleh seorang pekerja pembersihan sekitar jam 9 pagi.
#daging babi #Jasin #makmal kimia #rumah ibadah #serkam #Surau Bukit Serkam
;