Penemuan badan tanpa kepala belum sah milik warga Malaysia

Rahimah Abdullah
Disember 16, 2015 16:10 MYT
Bernard diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengesahkan mayat tanpa kepala yang ditemui pihak keselamatan Filipina adalah milik jurutera dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen, yang diculik di Sandakan, Sabah pada Mei lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia berikutan pihaknya masih menunggu keputusan ujian DNA bagi mendapatkan pengesahan rasmi mengenai penemuan mayat itu.
"Kita belum dapat maklum balas rakan kita di Filipina. Jadi, kita masih menunggu (keputusan).
"Semalam ada penemuan badan tanpa kepala. Kita sudah hantar sampel DNA Bernard Then.
"Jadi, saya harap pihak berkuasa Manila akan menggunakan sampel itu untuk melakukan ujian terhadap badan yang mereka jumpa itu juga," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Hijau PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi kementeriannya di persidangan Dewan Negara di sini berkata, pasukan keselamatan Filipina telah menemui mayat tanpa kepala yang dipercayai milik warga Malaysia yang diculik, Bernard Then.
Reezal bagaimanapun tidak mendedahkan bila dan tarikh pasukan keselamatan Filipina menemui mayat tersebut.
Then, 39, dipercayai dipenggal di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.
Jurutera itu diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas bersama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50.
Thien bagaimanapun dibebaskan pada 8 November lepas.
#Abu Sayyaf #Bernard Then Ted Fen #Mayat tanpa kepala #PDRM #Sandakan
;