Penempatan semula mangsa banjir, Kerajaan Negeri Perak kaji kesesuaian lokasi, kos

Abd Razak Mohd Ali
Disember 1, 2022 17:46 MYT
Mangsa banjir di Teluk Intan merayu kerajaan agar segera memindahkan mereka ke kawasan yang lebih tinggi, seperti yang pernah dijanjikan sejak lima tahun lalu. - Gambar fail
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan mengkaji terlebih dahulu kesesuaian kawasan penempatan baharu yang dicadangkan untuk memindahkan mangsa banjir di Teluk Intan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam masa sama, kerajaan negeri juga akan mengkaji kos pembangunan yang dijangka terlibat.
“Kalau ada tempat yang lebih selamat dan ada tanah kerajaan, kita boleh mengambil tindakan untuk memulakan perbincangan di peringkat pejabat daerah.
“Dia sama seperti yang berlaku di Lenggong apabila banjir besar 2014, kita mencari tapak baharu yang jauh lebih selamat di tanah lebih tinggi dan kerajaan meluluskan tanah tersebut dan kita mencari dana untuk membangunkan kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu program lawatan kerja ke tapak projek rintis penginapan pekerja berpusat (CLQ) di Asrama Murni dekat Jelapang, di sini, hari ini.
BACA: Banjir: 'Tolong pindahkan kami, sudah tak larat keluar masuk PPS' - Penduduk
Menurutnya, proses yang sama akan dilakukan di Teluk Intan dan kawasan-kawasan lain yang kerap terdedah kepada banjir setiap tahun
Pada Rabu, mangsa banjir di Teluk Intan merayu kerajaan agar segera memindahkan mereka ke kawasan yang lebih tinggi, seperti yang pernah dijanjikan sejak lima tahun lalu.
Mereka sudah tidak tahan terpaksa berpindah randah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beberapa kali setiap tahun kerana rumah mereka dilanda banjir.
Malah, sepanjang November sahaja, mereka telah lebih dua kali keluar masuk ke PPS di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.
#banjir #Kerajaan Negeri Perak #pemindahan mangsa banjir #Penempatan baharu
;