Penempatan sementara: Harga penginapan RM6 terlalu rendah - Pengusaha hotel

Hasimi Muhamad
Februari 7, 2021 13:00 MYT
Pengusaha hotel bersedia untuk membantu kerajaan dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19 menerusi penempatan sementara pekerja. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) disaran mempertimbangkan kenaikan harga penginapan pekerja di hotel kepada RM16 satu malam.
Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia, Emmy Suraya Hussein berkata kadar harga RM6 yang dicadangkan oleh pihak JTKSM ketika ini untuk melaksanakan inisiatif penempatan sementara pekerja disifatkan sebagai terlalu rendah.
Jelas beliau, pengusaha hotel perlu menanggung kos operasi yang tinggi termasuk bayaran bil elektrik.
“Saya rasa dengan RM6 seorang untuk satu malam memang terlalu rendah tetapi mungkin ada hotel-hotel berasa memang memerlukan inisiatif yang dilakukan oleh MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).
“Mungkin mereka tiada tanggungan lain seperti bangunan sendiri dan tidak perlu bayar sewa kepada pemilik-pemilik bangunan dan ini (inisiatif penempatan sementara) boleh menolong mereka.
“Kalau kita tempatkan pekerja dengan RM6 satu biik tidak berbaloi. Jadi, kita kena letak empat atau enam orang dalam satu bilik tertakluk kepada saiz bilik. Maka, kena mengeluarkan kos untuk menyediakan katil bertingkat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut beliau berkata, pengusaha hotel bersedia untuk membantu kerajaan dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19 menerusi penempatan sementara pekerja di hotel-hotel di seluruh negara.
Berdasarkan perbincangan, Emmy Suraya berkata ia termasuk pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Jelas beliau, dianggarkan seramai 1.2 juta pekerja asing memerlukan penempatan sementara di seluruh negara.
“Seperti yang telah dibincangkan dengan JTKSM, pekerja-pekerja ini masih bekerja (seperti biasa) cuma diletakkan di tempat baharu seperti di hotel-hotel, sementara pemilik kilang tersebut menyesuai balik tempat tinggal.
“Mereka ini akan dijaga oleh pihak-pihak tertentu (pihak berkuasa) supaya mereka tidak keluar dengan sewenang-wenangnya daripada hotel atau bergerak ke satu-satu tempat, dan akan diawasi,” jelas beliau.
BACA: MOTAC, JTKSM laksana inisiatif penempatan sementara pekerja di hotel
Bagaimanapun, Emmy Suraya mengakui inisiatif berkenaan boleh mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh pengusaha hotel sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Katanya, sekurang-kurangnya 33 peratus pengusaha hotel telah menutup operasi sejak PKP 1.0.
Setakat ini, dianggarkan 3,000 hingga 4,000 pengusaha hotel berdaftar di bawah MOTAC.
Terdahulu, MOTAC bekerjasama dengan JTKSM melaksanakan inisiatif penempatan sementara pekerja di hotel mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
#PKP #SOP #COVID-19 #Penempatan sementara pekerja #pengusaha hotel #pekerja asing #Persatuan Hotel Bajet & Bisnis Malaysia
;