Penempatan pekerja: Bincang dengan majikan, pemaju - Lee Lam Thye

Astro Awani
Februari 7, 2021 13:37 MYT
Lam Thye berkata kerjasama antara pihak kerajaan dan majikan serta pemaju perlu diwujudkan segera bagi menyelesaikan isu tempat tinggal pekerja yang daif - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara pihak kerajaan dan majikan serta pemaju perlu diwujudkan segera bagi menyelesaikan isu tempat tinggal pekerja yang daif.
Menurut Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye, ini kerana penyelesaian penempatan pekerja ini adalah untuk jangka panjang dan ia tidak boleh diputuskan oleh satu pihak sahaja.
Tambah beliau, pihak majikan yang sedia ada berdepan tekanan kos akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini perlu memikirkan kos tambahan untuk menambah baik kawasan penempatan pekerja.
Justeru, beliau mencadangkan empat cara bagaimana ia boleh diatasi untuk jangka masa panjang.
“Pertama tempat tinggal itu boleh dibina oleh pemaju atas tanah itu sendiri dan sewa kepada kontraktor.
“Kedua, ia dibina oleh kontraktor untuk pekerja mereka di kawasan yang ditentukan oleh pihak kerajaan. Ketiga, ia dibina oleh kerajaan dan disewa kepada kontraktor, manakala keempat, pemaju sediakan tanah dan kontraktor membina rumah untuk pekerja mereka,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Ahad.
Selain itu, beliau berpendapat cadangan menempatkan pekerja di hotel adalah tidak sesuai memandangkan kos yang terlalu tinggi.
Mengakui isu penempatan pekerja adalah amat penting dalam norma baharu, Lam Thye berkata fokus juga harus diberikan kepada industri yang menjadi pencetus kepada kluster tempat kerja.
#Lee Lam Thye #Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat #PKP #Penempatan sementara pekerja #pekerja asing #COVID-19 #Kluster tempat kerja
;