Penempatan haram digempur, 156 PATI ditahan

Astro Awani
Jun 7, 2021 09:45 MYT
Khairul berkata oleh kerana penempatan ini terletak di lokasi terpencil, ini menyebabkan pergerakan mereka sukar dikesan pihak berkuasa. - Astro AWANI
CYBERJAYA: Seramai 156 warga asing termasuk 12 wanita dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu serbuan di sini pada Ahad.
Operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dilakukan bermula jam 10 malam.
Keuta Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud memaklumkan hasil risikan selama tiga bulan mendapati penempatan PATI ini dipercayai sudah bertapak sejak empat tahun lalu.
Jelasnya oleh kerana penempatan ini terletak di lokasi terpencil, ini menyebabkan pergerakan mereka sukar dikesan pihak berkuasa.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, ada dalam kalangan PATI bertindak agresif serta cuba meloloskan diri daripada ditangkap dengan berlari ke kawasan semak.
"Operasi ini bertujuan untuk menahan pendatang asing tanpa izin yang tidak mempunyai pekerjaan.
"Kita tidak tahu apa sebenarnya kegiatan yang mereka jalankan di negara kita ini," katanya.
Khairul berkata setiap minggu pihak polis membuat tangkapan melibatkan PATI yang terlibat dalam dalam kegiatan tidak bermoral serta perjudian dalam talian.
Beliau percaya ada dalam kalangan mereka yang ditahan terlibat dalam kegiatan tersebut.
Siasatan awal mendapati PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan dan India.
Khairul turut menafikan dakwaan tiada tindakan diambil ke atas majikan yang menggajikan PATI
Jelasnya pada tahun 2019 sehingga kini, seramai 1,052 majikan telah didakwa di mahkamah dengan kutipan denda melebihi RM19 juta.
Manakala pada tahun 2020, seramai 509 majikan telah didakwa dan didenda sebanyak RM10.5 juta ringgit.
Pada tahun 2021 pula sehingga bulan Mei, seramai 130 majikan telah didakwa dengan denda sebanyak RM3.2 juta dikutip.
#pati #Imigresen #Cyberjaya #penempatan
;