Penempatan graduan perubatan akan dipercepat

Nuradilla Noorazam
Ogos 3, 2016 20:55 MYT
Waktu menunggu yang lama menyebabkan sesetengah graduan perubatan membuat servis doktor sambilan atau 'locum work' yang salah di sisi undang-undang. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan Malaysia akan mempercepat proses penempatan graduan perubatan sebagai pegawai perubatan siswazah atau housemanship dari enam hingga sembilan bulan sekarang kepada empat hingga lima bulan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Subramaniam, berkata pihak kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menyelaraskan penempatan graduan perubatan.
Pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat kementerian di sini, hari ini, Subramaniam berkata waktu menunggu yang lama menyebabkan sesetengah graduan perubatan membuat servis doktor sambilan atau 'locum work' yang salah di sisi undang-undang.
"Antara alasan yang diberikan mereka adalah waktu menunggu yang lama membuat mereka risau akan hilang ilmu dan kemahiran yang dipelajari selama ini.
"Namun mereka harus sedar bahawa apabila ditangkap, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang dan disiplin dari kerajaan dan Majlis Perubatan Negara.
"Malah, mereka boleh diharamkan dari berkhidmat sebagai doktor" ujar beliau.
Tambahnya, kerajaan merekodkan kes-kes yang melibatkan perkhidmatan doktor sambilan di klinik-klinik swasta tahun ini dimana graduan tersebut dan doktor atau pemilik premis telah dikenakan tindakan undang-undang.
"Nasihat saya adalah supaya mereka jangan melakukan perkara ini kerana ia boleh merosakkan masa hadapan mereka.
Dr. Subramaniam yakin bahawa isu ini boleh diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
Katanya graduan perubatan, termasuk graduation perubatan gigi dan farmasi yang masih menunggu penempatan boleh berkhidmat di kementerian dan agensi kerajaan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia.
#Doktor #Jabatan Perkhidmatan Awam #JPA #Kementerian Kesihatan #perubatan #S. Subramaniam
;