Penempatan baharu kepada penduduk terlibat banjir di Langkap

Bernama
April 10, 2017 12:41 MYT
- Murid dan guru yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Kampung Buloh, Permaisuri meredah banjir pada bulan Januari lalu. - FotoBERNAMA
Kerajaan Terengganu akan membina penempatan baharu bagi penduduk Langkap di sini, yang terlibat dengan bencana banjir hampir setiap tahun.
Anggota Dewan Undangan Negeri Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor berkata beberapa kawasan penempatan baharu dikenali pasti antaranya di Kampung Pelong, Kampung Kerbau Menyusup dan Kampung Pengkalan Merbau.
"Kita akan sediakan infrastruktur seperti jalan, bekalan air dan elektrik secepat mungkin di kawasan berkenaan bagi kemudahan penduduk yang akan berpindah ke situ kelak. Kalau tiada kemudahan itu, mereka tidak akan berpindah.
"Saya akan gunakan peruntukan yang disediakan kerajaan negeri sebanyak RM10 juta bagi memastikan projek berkenaan berjalan dan dapat menyelesaikan masalah penduduk yang sering dilanda banjir.
"Penempatan baharu itu penting kerana bukan sahaja untuk menyelamatkan harta benda tetapi nyawa mereka dan anak-anak," katanya selepas menyampaikan bantuan ihsan kepada 437 keluarga akibat banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri Langkap, melibatkan peruntukan keseluruhan RM437,000.
Program agihan bantuan banjir di kawasan Langkap itu adalah yang pertama di Terengganu, dengan masing-masing menerima RM1,000, iaitu RM500 daripada kerajaan negeri dan RM500 lagi menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan.
Sabri berkata pihaknya juga menyalurkan bantuan segera seperti bekalan makanan serta peruntukan RM11,000 untuk membaiki rumah yang rosak.
"Saya berharap bantuan yang diterima mangsa banjir daripada kerajaan hari ini, dapat meringankan beban mereka dan gunakan duit berkenaan secara berhemah," katanya.
Beliau berkata petani di kawasan berkenaan turut terjejas teruk apabila tanaman cili yang mereka usahakan, musnah dalam banjir mengakibatkan kerugian lebih RM20,000.
"Saya berharap Jabatan Pertanian dapat melihat perkara ini...apa bentuk bantuan atau keperluan yang sepatutnya diberikan kepada petani yang menjadi mangsa banjir," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #keluarga #kerajaan #mangsa #mangsa banjir #mati lemas #Sabri Mohd Noor